Editorial
Di sebalik hiruk-pikuk politik dalam negara, tahun 2025 merupakan detik penting dalam kepimpinan negara meneruskan legasi Malaysia di pentas antarabangsa, dengan Malaysia terpilih menduduki tampuk Pengerusi ASEAN.
Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN – acara tahunan yang menghimpunkan kesemua 10 pemimpin utama negara- negara ASEAN, tetapi juga akan melancarkan satu visi masa depan ASEAN selama 20 tahun.
Visi Komuniti ASEAN 2045
Deklarasi Kuala Lumpur kali ini dijangka memperkenalkan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan dinamakan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama. Dokumen ini merupakan dokumen strategik jangka panjang yang akan menjadi panduan dalam menentukan hala tuju ASEAN bagi tempoh dua dekad akan datang.
Seiring dengan tema Sidang Kemuncak ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan”; Visi Komuniti Asean 2045 akan disokong oleh empat pelan strategik, meliputi Komuniti Keselamatan Politik, Komuniti Ekonomi, Komuniti Sosio Budaya dan Komuniti Kesalinghubungan (connectivity).
Menurut Mohamad Hasan, Visi Komuniti Asean 2045 adalah pelan tindakan jangka panjang yang merupakan komitmen bersama untuk membentuk Asean yang berdaya tahan, selamat, aman dan berpaksikan rakyat.
ASEAN 2045 tidak sekadar manifesto atau pelan strategik semata-mata. Dalam masa yang sama sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah turut menyertakan dua sidang kemuncak lain bagi mengukuhkan kedudukan rantau ini dalam geopolitik dunia.
Bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Malaysia turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
Menurut, Dr. Julia Roknifard, Pensyarah Kanan, Taylor’s University, “Sidang ini bukanlah pakatan formal, tetapi merupakan kerjasama pragmatik yang bertujuan untuk meningkatkan ‘leverage’ terhadap kuasa-kuasa besar.
“Gabungan penduduk ASEAN, GCC, dan China yang melebihi dua bilion orang membentuk pasaran pengguna yang sangat besar. Selain itu, simpanan tenaga dan komoditi dalam rantau-rantau ini, digabungkan dengan kekuatan pembuatan China serta kemajuan teknologi, terutama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik, menghasilkan satu kuasa ekonomi yang hebat,” tulis Dr Julia lagi.
Gabungan ketiga-tiga pihak ini merangkumi hampir 2.8 bilion penduduk, iaitu kira-kira 35 peratus daripada populasi dunia, dan menyumbang lebih 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, dengan jumlah melebihi 22 trilion dolar AS. Angka ini menggambarkan kuasa ekonomi dan demografi yang besar bagi blok kerjasama tersebut, sekaligus menjadikan sidang tiga hala ini sangat strategik dari sudut geopolitik dan ekonomi.
Dari sudut perdagangan, ASEAN dan China mencatatkan nilai dagangan melebihi 850 bilion dolar AS pada tahun 2023, manakala perdagangan antara ASEAN dan GCC pula mencatat kira-kira 110 bilion dolar AS – mencerminkan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan dalam ekonomi rentas benua.
Pelaburan langsung asing dari GCC ke negara-negara ASEAN pula meningkat sebanyak 15 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan, menandakan hubungan ekonomi yang semakin kukuh dan saling melengkapi.
Bagi China, inisiatif Belt and Road (BRI) menjadi pemangkin utama dengan pelaburan bernilai lebih 300 bilion dolar AS yang tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan teknologi hijau di Asia Tenggara dan Timur Tengah, sekaligus mengukuhkan jaringan logistik dan ekonomi serantau.
Kepengerusian ASEAN 2025 ini menguji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakinkan pucuk pimpinan ASEAN dan kebolehan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan menguruskan ‘perbalahan’ politik untuk mencapai kata sepakat.
Timor Leste ujian kepimpinan Malaysia
Malaysia kini sedang berusaha menjadikan Timor-Leste sebagai anggota tetap ASEAN.
Negara yang merdeka daripada Indonesia pada tahun 2002 itu mengambil masa lebih dua dekad untuk diterima sebagai pemerhati ASEAN pada Sidang Kemuncak di Phnom Penh, Kemboja pada tahun 2022.
Namun, usaha menerima Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN masih berliku.
Menurut Profesor Madya Nuno Canas Mendes dari Institut Sains Sosial dan Politik, Universiti Lisbon, perdebatan mengenai kesediaan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN masih berterusan.
“Keraguan yang berterusan ini — walaupun selepas Sekretariat ASEAN meneliti syarat minimum keanggotaan — mendedahkan isu sensitif politik yang mengelilingi penyertaan Timor-Leste.”
“Walaupun terdapat peta jalan yang jelas, kebimbangan masih ada bahawa kemasukan Timor-Leste boleh melambatkan kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN dan bahawa pendirian geopolitik negara itu yang tidak jelas boleh memberi kesan kepada kaedah membuat keputusan ASEAN yang berasaskan konsensus,” tulis beliau dalam East Asia Forum.
Sementara itu, Profesor Zhai Kun dari Pusat Pengajian Antarabangsa dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Wilayah, Universiti Peking, dalam tulisannya di forum yang sama, mengambil sikap berhati-hati mengenai penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN.
Beliau menegaskan bahawa penyertaan Timor-Leste perlu mengambil kira pelbagai aspek kritikal, bukan sahaja kesiapsiagaan sosioekonomi negara itu, tetapi juga kekuatan institusi dan kemampuan untuk memenuhi standard serta kehendak ASEAN.
“Timor-Leste masih menghadapi cabaran besar dalam membangunkan kerangka undang-undang dan dasar pelaburan yang kukuh — aspek penting untuk menarik pelabur dan memastikan penyertaan efektif dalam komuniti serantau,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa walaupun Timor-Leste menunjukkan beberapa pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur dan demokrasi, perjalanan ke arah integrasi penuh dalam ASEAN memerlukan persediaan yang lebih rapi dan usaha berterusan bagi memastikan negara itu mampu menyumbang secara bermakna kepada visi dan misi ASEAN menuju 2045.
Sebagai pengerusi ASEAN tahun 2025, Malaysia memikul tanggungjawab besar dalam mengetuai rundingan dan mewujudkan kesepakatan dalam kalangan negara anggota.
Kejayaan memimpin usaha menerima Timor-Leste bukan sahaja akan memperkukuh perpaduan ASEAN, tetapi juga menunjukkan kepimpinan Malaysia dalam memperkasakan komuniti serantau yang inklusif dan mampan, sejajar dengan aspirasi ASEAN menuju 2045.-SUARA.TV