Video: Jamal Dilaporkan Melarikan Diri Dari Tahanan Polis

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, 48 tahun dilaporkan telah ‘melarikan’ dari tahanan polis ketika proses jaminan mahkamah yang dibuat di Hospital Ampang Puteri di sini petang ini.

Menurut satu laporan yang diterima Jamal dikatakan melarikan diri dengan menaiki kereta Toyota Fortuner.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, ‘kehilangan’ Jamal berlaku antara pukul 5 ke 6 petang ketika pihak polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi jaminan mahkamah.

“Kita sedang kesan beliau (Jamal) untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan,” katanya melalui satu kenyataan yang diberikan kepada SuaraTV malam tadi.

Jamal telah dituduh sebanyak tiga pertuduhan di hospital tersebut bagaimanapun, pihak majistret telah menawarkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap kes.

“Sementara proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan petang tadi, Jamal telah meninggalkan kawasan hospital.

“Beliau akan dihubungi semula untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah itu,” katanya.

Jamal sebelum ini ditahan sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor sebelum ini berkata sejurus selepas tangkapan dibuat, Jamal ditahan di hospital tersebut kerana sedang menjalani rawatan.

Tangkapan dilakukan bersabit satu kes yang disiasat di bawah Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960 yang dilaporkan pada 12 Mei 2018 lalu. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.