Pelajar Perempuan Kolej Vokasional Port Dickson Ditemui Mati Dibunuh

PORT DICKSON – Seorang penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD), Nur Alya Damia Hairi, 19, ditemui mati, dipercayai dibunuh, di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di sini, 10.30 malam tadi.

Izwan Mustaffa, 30, berkata dia ternampak seorang remaja perempuan terbaring di kawasan itu sewaktu mahu membuang sampah di depan rumahnya dan memaklumkan kepada jiran.

Pihak polis yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan remaja itu sudah meninggal dunia.

Rakan mangsa, Ain Zulaika Zamuri, 19, berkata rakan sekelas dan sebiliknya itu keluar dari asrama pada jam 9 malam tadi dan memaklumkan mahu bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.

Penuntut Diploma Rangkaian Komputer itu berkata, berikutan tidak sedap hati dia menghubungi teman lelaki mangsa dan terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu tidak bertemu Nur Alya.

“Disebabkan itu saya bersama dua rakan sebilik yang lain bertindak mencari Zulaika dengan menunggang motosikal. Sebaik tiba di Taman PD Permata, kami ternampak anggota polis dan orang ramai berkumpul tepi jalan,” katanya.

Ain Zulaika berkata, mangsa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan berasal dari Klang, Selangor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor, berkata sepasukan anggota forensik bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan orang awam.

Katanya, pemeriksaan menemui kesan jerut pada leher mangsa dan remaja itu dipercayai dibunuh.

“Buat masa ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Sumber berkata, susulan kejadian tiga remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan bagi membantu siasatan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.