Harga Handphone Ini Mencecah RM1.5 juta Dan Dihantar Kepada Pembeli Hanya Menggunakan Helikopter

BEIJING – Dengar sahaja nama Vertu, tentu netizen akan terbayangkan pelbagai model telefon bimbit ‘super mewah’ yang dijual pada harga yang cukup tinggi melangit.

Begitu juga dengan penampilan Vertu Signature Cobra limited edition, telefon selular terbaru keluaran firma British tersebut yang hanya dijual secara eksklusif menerusi platform atas talian e-dagang Jingdong Mall di China.

Harganya dianggap sebagai luar biasa apatah lagi media antarabangsa melaporkan ia boleh mencecah 2.47 juta yuan (kira-kira RM1.5 juta), lebih kurang sama dengan harga sebuah kereta super sport mewah keluaran Itali.

Lebih unik, harganya itu turut disebabkan gajet pintar ini dihiasi dengan sejumlah 439 batu permata jenis rubi yang disusun indah untuk membentuk seumpama corak ular melingkar di bingkai tepi telefon mudah alih tersebut.

Manakala kilauan tajam mata sang ‘ular’ yang berwarna kehijauan itu merupakan pembiasan cahaya semula jadi daripada dua butir zamrud. Namun, yang paling eksklusif ialah cara penghantaran gajet telekomunikasi ini.

Ia hanya dikirim terus ke tangan pembelinya dengan menggunakan penerbangan helikopter. Kaedah unik ini mungkin agar produk itu tidak hilang atau disamun di tengah jalan jika dihantar menerusi perkhidmatan kurier.

Bukan itu sahaja, edisi terhad model Vertu yang bertatahkan batu permata itu cuma dkeluarkan sebanyak lapan unit untuk pasaran global dan dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak 19.3 juta yuan (kira-kira RM12 juta).

Lucunya, ciri-ciri telefon tersebut bukanlah sehebat mana pun apabila sekadar memiliki aplikasi biasa Android atau iOS. Bahagian depannya terdiri skrin kecil dan deretan papan kekunci numerik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.