Saintis Dakwa ;ping; Bukan Dari MH370

SYDNEY – Beberapa saintis dasar laut menyatakan empat isyarat berdesing atau ‘ping’ yang dikesan menerusi peralatan pinger milik tentera Amerika Syarikat (AS) bukan datang dari kotak hitam sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di selatan Lautan Hindi, lapor akhbar The Courier Mail semalam.

Menurut para saintis itu, signal yang dikesan itu juga mengandungi frekuensi yang silap dan ia datang dari sumber buatan manusia yang sebelum ini tidak dapat dikesan di dalam lautan tersebut.

“Sejurus selepas menyaksikan perbezaan jarak empat ‘ping’ dan frekuensi tersebut, saya mengetahui ia bukan milik pesawat itu,” kata salah seorang saintis tersebut.

Menurut saintis tersebut, pengakuan mereka itu disokong dengan kegagalan kenderaan dalam laut autonomi yang dikenali sebagai Bluefin-21 menemui sebarang serpihan pesawat berkenaan.

Peralatan Bluefin-21 itu boleh menyelam pada kedalaman sehingga 4,500 meter dan diletakkan di atas kapal Ocean Shield milik Australia.

Ia akan digantikan dengan sebuah kenderaan dalam air yang baharu apabila kapal tersebut kembali ke Perth, Australia pada minggu depan.

Para saintis itu juga menyatakan, ‘ping’ yang berfrekuensi 33.3 kilohertz yang dikesan itu amat berbeza dengan gelombang 37.5 kilohertz yang dikeluarkan kotak hitam tersebut.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.

Ketika hilang, pesawat tersebut sepatutnya menghubungi sebuah menara kawalan trafik udara di bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Pesawat itu dilaporkan berpatah balik ke utara Semenanjung Malaysia dan berdasarkan data satelit, kerajaan Malaysia merumuskan, ia hilang di selatan Lautan Hindi.

Kerja-kerja mencari pesawat itu yang melibatkan kapal China dan Australia kemudian dilakukan di selatan Lautan Hindi. – Agensi

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.