PAS Pecat Saya Tanpa Mengikut Ajaran Islam – Pang Chaw

Bekas ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hu Pang Chaw berkata beliau menerima perlucutan jawatannya dalam sayap PAS itu tetapi kecewa dengan cara ia dilaksanakan.

Ketika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini, Hu berkata, keputusan menggugurkannya itu tidak demokratik dan tidak mengikut ajaran Islam yang menyarankan muzakarah dibuat terlebih dahulu.

“Masalahnya perubahan itu harus dilakukan secara demokratik, (supaya) betul-betul mencerminkan nilai suci-murni yang termaktub dalam agama Islam, iaitu semangat muzakarah, semangat rendah diri dengan semangat hormat-menghormati melakukan segala perubahan yang kita perlukan.

“Saya kecewa bukan dengan parti. Parti itu tidak bersalah. Yang ada masalah pimpinan yang membuat keputusan untuk melakukan perubahan.

“Adakah mereka sedar perubahan (kepimpinan DHPP) itu dilakukan mengikut apa yang saya katakan saya tadi ataupun kerana sesuatu agenda tersembunyi.

“Pada saya kalaulah kita tidak bersikap berterus terang dalam membuat satu keputusan, kita tidak ikhlas dalam menjalankan tugasan kita sebagai pemimpin, jadi organisasi kita pimpin itu ke mana hala tujunya?” katanya.

Pada 13 Mei lalu, Hu berkata, beliau disingkirkan daripada barisan baru DHPP kerana pendirian tegas beliau berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Tegasnya, beliau tidak pernah mempersoal kewujudan hudud dalam Islam tetapi percaya undang-undang itu tidak sesuai untuk dikuat kuasa di Malaysia.

Beliau juga sebelum itu pada 16 April berkata, “DHPP sama sekali tidak akan memainkan peranan untuk memperjelaskan kepada bukan Islam, terutamanya di Kelantan berkaitan hukum hudud”.

Kenyataan itu dibuatnya selepas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah meminta DHPP memberikan penerangan mengenai hudud kepada bukan Islam.

Kemudian pada 21 April, sekali lagi Hu membuat kenyataan mendakwa rang undang-undang hudud dibawa oleh pimpinan Kelantan tanpa merujuk kepada rakyat.

Beliau mencadangkan agar kerajaan negeri membuat satu referendum untuk mendapat maklum balas daripada rakyat mengenai rancangan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.