KUALA LUMPUR, – Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, menggesa ASEAN memperkukuh kecekapan institusinya agar lebih tangkas dan responsif dalam menangani isu serantau dan global, menjelang pelaksanaan ASEAN Community Vision (ACV) 2045.
Beliau berkata demikian semasa menyertai sesi panel di FPCI Forum on ASEAN Community Building yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Forum yang bertemakan “Road to ASEAN Vision 2045: When Expectations Meet the Reality” itu menghimpunkan pembuat dasar, pakar dan sarjana dari seluruh Asia Tenggara bagi merangka pelan strategik menuju masa depan ASEAN yang lebih inklusif dan mampan.
“Untuk merealisasikan ASEAN Community Vision (ACV) 2045, kerangka institusi ASEAN perlu menjadi lebih tangkas tanpa mengabaikan prinsip inklusiviti dan kedaulatan. Kecekapan dalam proses membuat keputusan serta peningkatan keupayaan ASEAN untuk bertindak secara masa nyata amat penting bagi menangani isu serantau dan global dengan lebih berkesan serta memastikan ASEAN kekal relevan,” tegas beliau.
Diskusi yang dianjurkan oleh Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI) ini turut menyaksikan pembentangan 34 aspirasi dan cadangan strategik utama hasil perbincangan 22 pakar dari 11 negara Asia Tenggara, termasuk Timor-Leste. Dokumen ini bakal menjadi sumbangan masyarakat sivil kepada pembentukan rasmi ASEAN Community Vision 2045, yang dijangka dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.
Selain Datuk Seri Shamsul Iskandar, panel turut menampilkan, Duta Jesus “Gary” S. Domingo, Timbalan Setiausaha bagi Keselamatan Awam dan Hal Ehwal Konsular, Republik Filipina; Duta Nelson Santos, Penasihat Diplomatik Kanan kepada Presiden Republik Demokratik Timor-Leste dan Dr. Jayant Menon, Felo Kanan, ISEAS – Institut Yusof Ishak, Singapura; bekas Ketua Ahli Ekonomi Bank Pembangunan Asia (ADB).
Ucapan pembukaan disampaikan oleh Dr. Dino Patti Djalal, Pengasas dan Pengerusi FPCI, manakala sesi dikendalikan oleh Dayu Nirma Amurwanti, Felo Kanan di FPCI.
Forum ini turut membuka ruang penyertaan kepada pelbagai lapisan masyarakat dan disiarkan secara langsung bagi memastikan suara rakyat ASEAN turut diambil kira dalam pembentukan dasar masa depan.-SUARA.TV