KUALA LUMPUR – Pembangunan semula kawasan perumahan lama di ibu negara bukan agenda mengusir orang Melayu, sebaliknya, langkah untuk menjamin kehidupan lebih bermaruah kepada rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dakwaan kononnya usaha berkenaan akan merampas tanah orang Melayu adalah tidak berasas kerana kesemua status tanah itu tidak berubah.
“Saya tidak faham politik begini. Apakah tanah itu tanah rizab Melayu? Kekal. Apakah tanah itu tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS)? Ya, kekal. Tapi rumah-rumah flat lama seperti Sri Perlis yang sudah uzur, sesak, tidak ada kemudahan, ini kita nak baiki, mengapa dijadikan bahan politik?
“Kita bukan mahu ambil tanah orang Melayu, kita mahu ganti rumah satu bilik jadi rumah tiga bilik. Itu pun jadi isu kononnya rampas tanah, agenda Cina. Ini bukan soal kaum, ini soal maruah rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Kreatif Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (dua, kiri); Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif (dua, kanan) dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed (kanan).
Pada masa sama, Anwar turut kesal kerana masih ada keluarga yang tinggal dalam flat sempit berusia lebih 40 tahun dengan satu bilik dan satu tandas.
Perdana Menteri juga kesal melihat anak-anak semakin membesar dalam ruang yang terhad di penempatan sedemikian.
“Kita biar sampai 2025 pun, macam itu? Saya tidak bangga sebagai Perdana Menteri kalau tidak dapat buat sesuatu untuk baiki keadaan ini.
“Kalau kita lambat tiga bulan, itu bermakna tiga bulan lagi mereka terus sengsara. Saya kalau boleh, hantar pekerja yang lambat siapkan rumah itu tinggal di situ dulu, baru dia tahu betapa seksanya,” lapor Astro Awani.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, projek pembangunan perumahan semula di ibu negara yang menjadi kontroversi mesti dilakukan segera dengan jaminan rumah ganti yang lebih luas, selesa dan berdekatan kawasan asal.
Beliau turut memberi contoh beberapa projek perumahan rakyat yang berjaya disiapkan dalam tempoh kurang 50 hari seperti di Pulau Pinang.
Katanya, ini membuktikan kerajaan mampu melaksanakan pembangunan dengan cekap dan pantas jika semua pihak tidak memberi alasan birokrasi.
“Saya sebut ini bukan sebab saya ada saham dalam projek. Saya tak mahu lagi lihat projek perumahan rakyat ditangguh bertahun-tahun. Kita boleh buat cepat, kita mesti buat cepat, jangan bila saya yang rasmi barulah projek itu siap cepat,” ujarnya.
Anwar berkata, pembangunan semula bandar mesti berteraskan keperluan rakyat majoriti dan bukan hanya memenuhi kepentingan pemaju.
“Nilai kita bukan pada gedung, tapi pada kefahaman tentang apa itu budaya, apa erti teknologi dan apa makna keselesaan sebenar bagi rakyat terbanyak,” jelas beliau lagi.