KUALA LUMPUR – Fenomena “badan tanpa kepala” bukan isu pelik bahkan tidak bermakna wujud penyelewengan mahupun demokrasi telah dicemari.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi fenomena itu ibarat umpama seekor lembu, majoriti tidak suka kepalanya.
“Sekarang ini fenomena “badan tanpa kepala” menjadi isu hangat dalam politik-pasukan menang, tetapi ketua kalah.
“Sebenarnya ia bukan isu pelik. Kalau ahli tidak suka ketua tetapi suka barisan “cainya” tidak bermakna ada penyelewengan atau demokrasi telah dicemari.
“Umpama seekor lembu. Majoriti tidak suka kepalanya. Mereka suka badan dan ekornya. Ekor lagi sedap kalau buat sup. Biasanya kepala lembu ditanam,” ujar Puad.
Menurut Adun Rengit itu lagi, lahirnya parti Amanah kerana ramai tidak suka kepalanya iaitu Presiden Pas.
“Mungkin bila kepala kena buang maka masalah ketaksuban, fatwa songsang, mempolitikkan hadis dan ayar al- Quran dapat dikurangkan,” kata Puad.
Pemilihan PKR yang berlangsung baru-baru ini dilanda pelbagai laporan berhubung dakwaan penyelewengan, termasuk ‘keanehan’ yang menyaksikan kumpulan tertentu menyapu bersih jawatankuasa cabang tetapi calon ketua cabang mereka tewas.
Trend itu berlaku di banyak tempat dan digelar sesetengah pihak sebagai fenomena “badan tanpa kepala” – pasukan menang, tetapi ketuanya kalah.