KUALA LUMPUR – Bermula 1 Ogos ini, tiada lagi penjualan produk rokok elektronik atau vape di mana-mana premis perniagaan di seluruh Terengganu.
Ketetapan itu adalah keputusan yang dimuktamadkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung di Wisma Darul Iman, kelmarin.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu bertujuan membendung penjualan dan penggunaan produk vape yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat terutama generasi muda.
“Antara keputusan yang dipersetujui ialah kerajaan negeri mengekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk vape selaras dengan undang-undang kecil yang berkuat kuasa di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Terengganu.
“Syarat-syarat lesen perniagaan pula akan diperkemas bagi memastikan larangan penjualan vape dapat dikuatkuasakan sepenuhnya,” katanya lapor media di Kuala Terengganu.
Wan Sukairi berkata, mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan aktiviti perniagaan selepas tempoh larangan dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 1971 iaitu hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
Bagi menyatakan komitmen dan ketegasan, kerajaan negeri juga memutuskan tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara melibatkan kerajaan.
“Tempoh lanjutan selama tiga bulan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 akan diberikan sebelum aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Ogos termasuk melibatkan papan iklan berkaitan perniagaan vape.
“Bagi menjaga kebajikan pengusaha vape yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan dalam sektor yang lebih mampan dan selamat,” katanya.