Izzah tak setuju individu cabar semak latar belakangnya disiasat MCMC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menegaskan pempengaruh media sosial Aliff Ahmad tidak sepatutnya disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hanya kerana membuat cabaran menawarkan untuk menjalankan semakan latar belakang terhadap anak sulung Perdana Menteri itu menggunakan sistem ‘Scrut Analytica’.

Izzah malah menyatakan, beliau mahupun mana-mana pegawaibya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap Aliff Ahmad seperti yang didakwa.

“Saya telah dimaklumkan oleh Saudari Liyana Marzuki dan beberapa rakan berkenaan satu hantaran yang dibuat oleh Aliff Ahmad. Saya tidak mengenali dia ataupun pernah bertemu dengan dia.

“Saya juga tidak pasti cara dia mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang.

“Namun yang pasti, dia tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan seperti yang dinyatakan mengenai saya.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC terhadap Aliff Ahmad, seperti yang didakwa,” jelas Izzah dalam kenyataan media pada Jumaat.

Justeru, kata Izzah adalah penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh.

“Selainnya, kita berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Moga Allah SWT memberkati segala usaha kita,” ujarnya.

Terdahulu media melaporkan, seorang pempengaruh media sosial Aliff Ahmad mendakwa dirinya dipanggil MCMC bagi membantu siasatan pada malam Khamis.

Katanya, tindakan itu dibuat suruhanjaya berkenaan dipercayai berhubung satu hantaran dimuat naik di Facebooknya yang menawarkan untuk menjalankan semakan latar belakang terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menggunakan sistem ‘Scrut Analytica’.​

Aliff, yang juga pengasas bersama sistem tersebut, memaklumkan bahawa beliau menerima notis rasmi untuk hadir di ibu pejabat MCMC di Cyberjaya pada jam 8 malam pada Khamis.​

Bagaimanapun, beliau menyatakan tidak dapat hadir pada waktu yang ditetapkan dan meminta pihak berkuasa mengemukakan waran tangkap sekiranya perlu.​

“Saya ada urusan lain dan tidak dapat hadir.

“Saya minta mereka pergi ke mahkamah esok pagi untuk mendapatkan waran tangkap jika perlu,” katanya menerusi hantaran di media sosial.​

Sebelum ini, Aliff menawarkan untuk melakukan semakan terhadap pekerjaan dan sumber pendapatan Nurul Izzah sekiranya hantaran tersebut mendapat 20,000 perkongsian di Facebook.​

Beliau turut menyatakan bahawa sebelum ini pernah membuat laporan kepada SKMM mengenai laman web yang didakwa menjual data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bocor, namun tiada tindakan diambil dan laman tersebut masih beroperasi.​

“Saya rasa lucu apabila SKMM bersungguh-sungguh menyiasat hantaran saya yang saya yakin tidak melanggar undang-undang, sedangkan banyak kandungan lain yang jelas melanggar undang-undang masih berleluasa,” katanya.​

“Saya tidak takut, malah teruja. Mungkin ini alasan kukuh untuk saya melakukan ‘scrut’ terhadap Nurul Izzah walaupun belum mencapai 20,000 perkongsian,” kata Aliff.​

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat