KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut Presiden Umno menyiarkan permohonan maaf secara terbuka dan secara bertulis di dalam akhbar-akhbar berita dan juga di semua platform media sosial rasmi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kekalkan siaran tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut.
Dr Mahathir menerusi peguamnya Rafique Rashid mengemukakan Notis Tuntutan kepada Zahid berkenaan kata-kata fitnah yang dituturkan dan/atau diterbitkan dan/atau diucapkan oleh Timbalan Perdana Menteri itu terhadap Dr Mahathir berkenaan kononnya keengganan bekas Perdana Menteri itu melepaskan pegangan amanahnya pada hartanah Umno.
“Tuntutan-tuntutan Dr Mahathir adalah Zahid hendaklah mengadakan satu sidang media secara terbuka di Ibu Pejabat Umno dan juga di Pejabat Timbalan Perdana Menteri
dengan jemputan media arus perdana serta media sosial, untuk tujuan membuat pengakuan bahawa kenyataan-kenyataan fitnah yang dituturkan oleh kamu pada 11 April 2025 tersebut merupakan satu penipuan dan kata-kata tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Juga embuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat termasuk dengan akujanji bahawa kamu dan/atau mana-mana pihak lain yang berkaitan tidak akan sama sekali membuat apa-apa kenyataan dan/atau penulisan dan/atau penerbitan lanjut yang menyentuh berkenaan reputasi, integrity dan kredibiliti Dr Mahathir.
“Zahid hendaklah membuat satu permohonan maaf bertulis kepada Dr Mahathir tanpa syarat dan secara terbuka termasuk dengan akujanji bahawa Zahid dan/atau agen-agennya dan/atau mana-mana pihak lain yang berkenaan tidak akan sama sekali membuat apa-apa kenyataan dan/atau penulisan dan/atau penerbitan lanjut yang menyentuh
berkenaan reputasi dan integriti Dr Mahathir.
“Termasuk permohonan maaf dan akujanji tersebut hendaklah tertakluk kepada kepuasan dan/atau dipersetujui oleh Dr Mahathir dalam tempoh 7 hari daripada tarikh Notis Tuntutan ini,” kata Rafique.
Pada 11 April lalu, Zahid berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menandatangani surat pelepasan tanggungjawab sebagai pemegang amanah sebuah aset kepunyaan Umno selepas tidak lagi bersama dengan parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri mendakwa, bekas Perdana Menteri itu masih belum menandatangani surat pindah milik meskipun surat daripada firma guaman telah dihantar.
“Jadi dalam keadaan demikian saya ambil contoh secara spesifik Hotel Seri Pacific adalah kepunyaan Umno Link Companies (ULC). Hanya beliau seorang yang tidak menandatangani untuk melepaskan tanggungjawab sebagai pemegang amanah yang lain-lain telah bagi kerjasama.
“Bila seseorang itu tidak lagi menjadi pemagang jawatan dalam mana-mana organisasi terutamanya organisasi politik yang telah mengamanahkannya menjadi pemegang amanah sepatutnya beliau melepaskan,” katanya di Kuantan.