Tak Perlu Besarkan Isu Lompat Parti – Noh

LOMPAT parti adalah perkara biasa menjelang pilihan raya selepas nama individu tertentu tidak dicalonkan untuk bertanding dan perkara itu tidak seharusnya diperbesarkan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata demikian susulan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan beberapa pemimpin atasan BN yang menunjukkan minat untuk menyertai gabungan parti pembangkang.

Noh berkata, perkara yang seharusnya dijadikan isu adalah apabila tiada orang lompat parti selepas penamaan calon.

“Secara peribadi, saya kasihan melihat Dr Mahathir ini. Kadang-kadang kenyataan beliau seperti tidak pernah jadi menjadi perdana menteri.

“Saya nak beritahu dan ingatkan Dr Mahathir. lompat parti memang berlaku sebab rasa marah atau protes apabila tak dapat jadi calon.

“Jika benar ada orang BN hendak lompat parti, itu perkara biasa. Sekarang pun ada beberapa kepemimpinan daripada pembangkang hubungi saya untuk sertai BN.

“Kalau tak ada orang lompat parti selepas penamaan calon, itu baru perkara luar biasa. Takkan itu pun nak dijadikan isu?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Rakyat Sejahtera Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Gerai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksysen 24, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, calon kerusi Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari dan calon DUN Batu Tiga, Datuk Mua’dzam Shah Yaakob.

Noh berkata, perkara lompat parti itu juga tidak akan melemahkan BN dan sikap setia pada parti seharusnya ada pada semua ahli walaupun tidak dicalonkan.

Beliau turut menempelak janji Dr Mahathir yang mahu mengumumkan cuti tambahan jika gabungan parti pembangkang berjaya menawan Putrajaya.

“Selama beliau menjadi perdana menteri, kenapa tidak buat?. Selama 22 tahun memerintah berapa banyak pilihan raya sudah dibuat?

“Kalau itu dasar yang baik, dari dulu beliau sudah buat. Kenapa hendak buat sekarang? Belum memerintah, sudah berjanji macam-macam.

“Masa beliau jadi perdana menteri, saya masih ingat beliau berkata janji pembangkang adalah gula-gula untuk penyedap rakyat,” katanya.

Terdahulu, Noh menunaikan solat Isyak secara berjemaah bersama-sama penduduk di Surau Nur’ Hidayah, Seksyen 24, di sini.

Beliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM200,000 kepada surau berkenaan bagi kerja baik pulih, selain bantuan sebanyak RM5 juta kepada pengurusan 20 flat di Seksyen 24 jika BN berjaya memerintah Selangor.-Hmetro

 

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.