PRU14: Wan Azizah Nafi Wujud Dua Kem Dalam PKR

PETALING JAYA – Dakwaan wujudnya dua kem kepimpinan dalam parti itu sehingga mengganggu-gugat proses pemilihan calon-calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dinafikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tiada dua kem. Memang tiada. Hanya ada satu kem iaitu kem saya sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai majlis taklimat calon-calon Pakatan Harapan PRU14 di sini.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan kem PKR terbelah dua antara Wan Azizah dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali berikutan pertikaian berhubung calon-calon pilihan masing-masing pada PRU14 ini.

Mengulas mengenai ketiadaan Azmin pada majlis semalam, Wan Azizah berkata beliau tidak tahu puncanya dan kemungkinan Azmin mempunyai urusan lain yang lebih penting.

Mengulas mengenai peluangnya untuk bertanding di Parlimen Pandan (Selangor) berbanding Parlimen Permatang Pauh (Pulau Pinang) sebelum ini, Wan Azizah berkata: “Kenapa tidak. Saya mempunyai pengalaman di Selangor sebelum ini. Saya tidak mempunyai masalah untuk bertukar kerusi. ”

Kerusi Parlimen Permatang Pauh akan ditandingi anaknya, Nurul Izzah Anwar. PKR akan bertanding 51 kerusi Parlimen dan 140 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung pada PRU14 kali ini.

Sementara itu, di majlis yang sama, Dr Mahathir menjelaskan hari mengundi ditetapkan pada hari bekerja ketika beliau menjadi perdana menteri kerana tidak ada perkara kritikal atau persempadanan semula kawasan pilihan raya berlaku ketika itu.

Jesteru, ditanya mengenai peluangnya memenangi kerusi Parlimen Langkawi, Dr Mahathir yakin perubahan pemikiran rakyat yang sejak dua tahun kebelakangan ini boleh membantunya.

“Ya, kelebihan undi bagi BN yang diwakili oleh UMNO memang besar iaitu 11,000 daripada 40,000 pengundi. Kita kalau nak kira boleh ambil 7,000 sudah cukup dan kita akan dapat kemenangan, kita yakin dapat lebih daripada itu,” katanya, petik Bernama

Terdahulu, BN mengumumkan penyandang kerusi itu Datuk Nawawi Ahmad akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.