Ibu Gusar Ismail Izzani Susah Tidur Malam

KUALA LUMPUR: Ibu penyanyi remaja, Ismail Izzani yang juga artis popular era 1980-an, Datin Suliza Salam mendedahkan anaknya itu turut berdepan masalah sama seperti dilaluinya iaitu sukar tidur malam.

Suliza yang terkenal dengan lagu Untuk Sekali Lagi itu berkata, anaknya yang berusia 18 tahun itu selalu berjaga sampai dinihari, meskipun ketika tidak terikat dengan undangan persembahan.

“Mungkin dia mewarisi tabiat saya itu, namun kami tidak ambil mudah memandangkan usianya masih muda. Bimbang juga jika tidak ditangani dari awal, masalah itu akan berlarutan apabila dia meningkat dewasa nanti.

“Kami ada membawa Ismail bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya. Alhamdulillah, masalahnya itu sudah mula dapat diatasi sedikit demi sedikit. Saya tidak tahu kenapa, mungkin juga mindanya terlalu ligat mencari idea hingga sukar melelapkan mata.

“Bayangkan pada hari tiada undangan persembahan, dia tetap tidur lewat,” kata Suliza ketika ditemui pada majlis pelancaran single ketiga anaknya itu, Luar Biasa, baru-baru ini.

Menyifatkan anaknya itu seorang yang pendiam dan pemalu, Suliza berkata, pembabitan Ismail dalam industri hiburan banyak mengubah sikapnya.

Daripada seorang yang tidak yakin ketika berdepan khalayak, Suliza bersyukur, apabila penyanyi lagu Sabar itu semakin berani berkomunikasi dengan peminatnya.

“Seperkara yang membuat saya yakin dengannya apabila dia sentiasa mendahulukan solat. Dahulu, Ismail kerap menjadi imam ketika kami sekeluarga solat jemaah. Setiap kali apabila mendengar azan dilaungkan, dia akan bingkas menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.

Suliza berkata, Ismail mula menunjukkan minat dalam dunia nyanyian sejak di bangku sekolah rendah. Namun sangkanya, minat anaknya itu sekadar mengisi masa lapang, malah tidak menduga dia akan mengikut jejak langkahnya menjadi penyanyi.

“Saya tidak tahu dia akan serius sebagai penyanyi. Mungkin sudah tertulis rezekinya dalam bidang ini kerana sebelum ini, saya tidak begitu nampak kecenderungannya untuk serius. Memang dia aktif menyanyi dan menyertai pelbagai program seni di sekolahnya.

“Ismail juga mempunyai bakat bermain gitar dan piano. Ketika usianya 12 tahun, Ismail gemar memuat naik lagu yang dinyanyikannya semula di Instagram. Tidak sangka pula minat itu berterusan hingga ada syarikat muzik berminat menyuntingnya.

“Apabila sudah ada minat, sebagai ibu saya sentiasa menyokongnya. Apa juga yang dilakukan, saya harap dia bersungguh-sungguh kerana tidak mahu kemunculannya sekadar persinggahan,” katanya.-Bharian

 

#BersamaBN
#HebatkanNegaraku
#DahulukanRakyat
#JomBN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!