Calon PPBM Dun Benut Di Johor Tarik Diri

JOHOR BAHRU – Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jelas celaru dan gagal mengambil kira sentimen serta kepentingan penduduk tempatan dalam meletakkan calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Tidak sampai seminggu pengumuman calon PPBM bagi Johor dibuat, seorang daripada 18 calon parti itu bertindak menarik diri, kononnya untuk memberi laluan kepada anak tempatan.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan pemerhati politik, adakah senarai calon yang diumumkan oleh parti itu tidak mengambil kira perkara itu dan apakah sebenarnya kriteria atau percaturan yang dilakukan oleh pimpinan parti itu dalam meletakkan seseorang calon.

Spekulasi politik khususnya di blok pembangkang hangat memperkatakan calon wanita itu, Najwah Halimah Ab Alim, sebenarnya disingkirkan menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 28 April ini.

Jika penarikan diri dibuat dengan alasan untuk memberi laluan kepada calon tempatan, persoalannya, mengapa perkara itu tidak diberi perhatian lebih awal?

Jika anak tempatan menjadi kriteria, bagaimana pula dengan beberapa calon luar yang disenaraikan seperti calon Parlimen Muar, yang bukan berasal dari daerah itu, sebaliknya dari Johor Bahru.

Najwah Halimah mendakwa keputusannya untuk menarik diri bukan kerana dipecat, sebaliknya dilakukan dengan kerelaan sendiri bagi memberi peluang kepada calon tempatan bertanding di kawasan itu.

Beliau turut mendakwa, keputusannya itu tidak dipengaruhi oleh sesiapa, sebaliknya dilakukan demi memastikan kemenangan parti itu pada PRU-14 ini.

“Apabila nama saya diumumkan sebagai calon DUN Benut, berlaku sedikit kecelaruan. Saya rasa, saya tidak akan membantu kejayaan parti.

“Malam itu (hari pengumuman calon), saya terus maklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) bahawa sebelum menerima keputusan (menjadi calon), saya perlu berjumpa dengan Ketua PPBM Bahagian Pontian, Zulkifli Tasrep, terlebih dahulu.

“Beberapa faktor diambil sebelum saya mengambil keputusan ini (menarik diri) iaitu saya diajar untuk tidak mengambil apa yang bukan hak, faktor gerak kerja orang tempatan sebelum ini dan bagaimana saya yang berasal dari Kempas dapat memahami sentimen penduduk di Benut.

“Apa yang paling penting ialah kita hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum tarikh penamaan calon dan pengundian. PPBM tidak mampu untuk berpecah-belah pada saat getir begini dan kepentingan parti perlu diutamakan,” katanya menerusi satu kenyataan media kepada NSTP, hari ini.

Najwah Halimah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM dan Naib Ketua Bahagian PPBM Pulai mendakwa, beliau sudah memaklumkan keputusannya itu kepada Muhyiddin dan Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, katanya, beliau memberi laluan secara rasmi kepada Zulkifli untuk dipilih sebagai calon DUN Benut bagi PRU-14.

Zulkifli dikatakan sudah menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada Muhyiddin, yang memaklumkan pemilihannya sebagai calon DUN Benut. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.