Alternatif Kerajaan Baharu

PULAU PINANG – Barisan Nasional (BN) negeri ini menampilkan calon-calon yang disifatkan pasukan terkuat untuk memberi saingan kepada gabungan pembangkang PKR khususnya DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kata Pengerusinya, Teng Chang Yeow.

Beliau berkata, calon-calon BN yang dibarisi 60 peratus muka baharu itu bakal menjadi alternatif kepada penduduk negeri ini bagi membentuk sebuah kerajaan negeri baharu.

“Kita tegaskan sekali lagi yang mana kesemua calon BN ini turun bertanding pada PRU-14 untuk memenangi semua kerusi di ne­geri ini.

“Inilah pasukan terkuat kita dan kita yakin menjadi pilihan kepada penduduk negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman calon BN bagi PRU-14 di pejabat Gerakan Georgetown di sini hari ini, lapor Utusan

Sementara itu, pengumuman yang dibuat oleh Setiausaha BN negeri, Datuk Omar Faudzar itu menampilkan 31 daripada 53 calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terdiri daripada muka-muka baharu di samping enam calon wanita.

Sehubungan itu, daripada jumlah itu, seba­nyak tujuh calon berusia di bawah 40 tahun dengan calon termuda berusia 32 tahun iaitu Koo Pei Che di DUN Batu Lanchang.

Secara keseluruhan juga, Gerakan meletakkan 40 peratus calon baharu; UMNO (40 peratus); MCA (75 peratus) dan MIC (100 peratus).

Daripada baki 22 calon lama pula, 10 daripada mereka merupakan penyandang manakala 12 bertanding semula.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, gabungan calon berpengalaman dan 40 peratus muka baharu parti tersebut menunjukkan proses perubahan dan kematangan dalam UMNO negeri untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Kesemua calon ini juga adalah pilihan pengundi tempatan yang mahukan mereka kerana kerja-kerja yang dilakukan selama ini terutama calon yang me­nyandang kerusi masing-ma­sing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.