Pelajar Perlu Bagi Tumpuan, Elak Gangsterisme

SHAH ALAM – Golongan pelajar sekolah seharusnya diberi tumpuan yang baik daripada terjebak dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, pelbagai faktor dapat dirungkai dalam melihat isu ini membelenggu pelajar, antaranya kurang kasih sayang ibu bapa, tercicir dalam pembelajaran dan kurang perhatian daripada guru.

Menurutnya, jika faktor-faktor ini tidak diatasi, tidak mustahil faktor lain seperti pengaruh rakan menjadi punca mereka terjebak dengan gengsterisme.

“Ada juga beberapa kes pelajar-pelajar ini terlibat dalam menjual dadah dan mengugut rakan sekolah.
“Kononnya dengan menyertai geng kongsi gelap ini mereka akan jadi terkenal dan boleh dapat rasa keseronokan,” katanya kepada Sinar Online.

Oleh itu, beberapa langkah untuk atasi seperti ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik bagi menjamin didikan dan keperibadian yang baik kepada anak-anak.

Beliau berkata, kualiti masa itu penting selain dorongan dalam memberi semangat terhadap anak untuk mereka berjaya dalam pembelajaran.

“Tidak salah jika kita sebagai ibu bapa sertai mereka dalam aktiviti sekolah, berbincang dengan mereka tentang kesan keburukan kegiatan gangsterisme selain ambil peduli siapa rakan mahu pun kenalan anak kita,” katanya.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memberi tumpuan yang seimbang terhadap mereka (pelajar) yang berada di kelas belakang.

Jelasnya, usah hanya tumpukan pelajar di kelas hadapan sahaja. Bimbang jika perkara ini diabaikan, pelajar-pelajar ini akan lebih cenderung untuk mengabaikan pelajaran dan terjebak dengan aktiviti yang tidak baik.

Baru-baru ini, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), telah berjaya menahan seramai 13 pelajar serta lima bukan pelajar kerana menyertai kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun Twitternya, yang dipetik berkata pihaknya telah mengesan pembabitan pelajar Sekolah Menengah (SM) Andalas, SM Raja Mahadi, SM Shahbandar dan SM Kampung Jawa dalam aktiviti geng berkenaan.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.