PRN Sarawak: Lim Guan Eng Rasa Tertipu PKR Tanding Kerusi DAP

MIRI – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kecewa dengan tindakan PKR bertanding di lima kerusi yang telah diberikan kepada DAP.

 

Justeru, DAP memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Batu Kitang sebagai menjawab keengganan PKR mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui secara bertulis oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 7 April lepas.

 

“Kalau satu kerusi mungkin kita boleh maafkan, tetapi bagaimana untuk maafkan lima kerusi? Kami rasa DAP telah ditipu.

 

“Apa yang berlaku sejak 7 April sehingga hari ini adalah persetujuan bertulis tidak dipatuhi. Tiada kesungguhan untuk mematuhi persetujuan itu. Saya rasa tindakan itu amat mengecewakan dan ia boleh menyebabkan penyokong keliru,” katanya kepada pemberita selepas penamaan calon Senadin hari ini.

 

Malam tadi, FMT dimaklumkan bahawa DAP akan mengetengahkan pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa sebagai calon di Batu Kitang selepas rundingan antara kedua parti menemui jalan buntu.

 

Di penamaan hari ini, sekurang-kurangnya enam kerusi, iaitu Batu Kitang, Mulu, Murum, Mambong, Simanggong dan Ngemah menyaksikan pertembungan antara DAP dan PKR.

 

Sementara itu, Malay Mail Online melaporkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai berkata pertembungan dengan DAP merupakan peristiwa malang.

 

“Sehingga malam tadi, kita semua berbincang dan melahirkan rasa bimbang beberapa kerusi yang menjadi pertikaian masih belum dapat diselesaikan walaupun di saat-saat akhir,” kata Azmin kepada pemberita di Shah Alam, hari ini.

 

Azmin berkata kepimpinan induk kedua-dua parti akhirnya bersetuju perkara itu sesuatu yang perlu diputuskan oleh kepimpinan parti di peringkat negeri.

 

“Kita perlu menghormati autonomi mereka,” kata Azmin, dan menambah perjanjian yang ditandatanginya sebelum ini bukan persefahaman yang muktamad.

 

“Persefahaman tidak muktamad kerana rundingan diteruskan setelah dokumen itu ditandatangani,” jelas Azmin, yang menambah dokumen itu tidak menamakan calon atau kerusi secara khusus. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.