Polis Tahan Wanita Tanggal Baju Tempat Awam

KUALA LUMPUR – Video ‘viral’ wanita yang bertengkar dengan seorang peniaga makanan sehingga dia menanggalkan colinya kini memasuki episod baru apabila dia ditahan polis, pagi tadi.

 

Wanita berusia 32 tahun yang dipercayai individu dalam video itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Sultan, di sini, 5.30 pagi tadi.

 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, wanita itu adalah warga Malaysia dan ketika ditahan di tingkat satu hotel berkenaan, dia gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

 

Katanya, kejadian berkenaan berlaku pada 4.30 petang Khamis lalu di Jalan Petaling.

 

“Bertindak hasil maklumat yang diterima, kita ke hotel itu sebelum wanita terbabit ditahan untuk pemeriksaan.

 

“Anggota polis wanita turut melakukan pemeriksaan di tubuhnya dan tidak menemui apa-apa barangan salah,” katanya dalam satu kenyataan media, tengah hari tadi.

 

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika ditahan dan ujian air kencing akan dijalankan terhadapnya.

 

(Berita sebelumnya;- ‘Video: Wanita Tanggal Baju Untuk Elak Bayar Nasi Ayam’)

 

“Kita akan menyiasat latar belakangnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak sopan.

 

“Dia dijangka didakwa di mahkamah Isnin ini,” katanya

 

Laman web Harian Metro semalam melaporkan, video berdurasi 53 minit itu memaparkan aksi seorang wanita bertindak nekad membuka pakaiannya, termasuk coli hingga separuh bogel sebelum mengajak peniaga makanan yang dipercayai menuduhnya tidak membayar wang makanan bertumbuk.

 

Kejadian itu dirakam oleh orang ramai sebelum disebarkan di media sosial dan menjadi ‘viral’. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.