Penyokong JDT Rosakkan Papan Iklan Di Stadium Perak

IPOH – Sekumpulan penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) membuat onar apabila merosakkan banyak papan iklan dalam Stadium Perak selepas perlawanan Liga Super antara Perak dengan juara bertahan itu di stadium itu, malam tadi.

 

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin memberitahu, kumpulan penyokong itu yang pada awalnya dikumpulkan di atas padang sebaik selepas perlawanan tiba-tiba menyerbu ke seberang stadium sebaik melihat kelibat penyokong Perak.

 

“Mujur ada pagar yang menghalang daripada berlakunya pertembungan. Namun saya lihat ada beberapa orang penyokong JDT memanjat pagar untuk mengejar penyokong Perak.

 

“Suasana cukup terkawal hinggalah tindakan penyokong JDT itu. Sepatutnya penyokong tuan rumah yang agresif sebaliknya tetamu yang menyerang tuan rumah,” katanya di sini.

 

Abd Aziz yang kesal dengan kejadian itu berkata, dia juga mendapat laporan berlakunya pergaduhan tetapi ia hanyalah antara penyokong JDT sendiri.

 

Katanya, PAFA dengan bantuan 450 anggota polis serta 130 petugas keselamatan sudah menyediakan pelan komprehensif dalam usaha memastikan tiada insiden buruk berlaku sebelum, pada atau selepas perlawanan itu yang berkesudahan Perak berjaya menewaskan JDT 2-1.

 

Malah sebagai langkah berjaga-jaga, barisan pemain dan pegawai pasukan Harimau Selatan itu meninggalkan stadium selepas perlawanan dengan dibawa menaiki kenderaan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ke Pangkalan Unit 5 itu di Sungai Senam.  – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.