PAS Permatang Pauh Akan Jelaskan Punca Pusingan U

BUKIT MERTAJAM – PAS Permatang Pauh dilihat seperti terpaksa menyokong jentera PKR sepanjang tempoh berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen itu nanti.

 

Yang Dipertuanya, Omar Hassan, ketika ditemui kelihatan kurang selesa untuk menghadiri proses penamaan calon PRK Permatang Pauh di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, apabila semua tuntutan dikemukakan pihaknya tidak dilayan PKR.

 

Omar berkata, pihaknya diarah untuk mengumpulkan ahli PAS Permatang Pauh dan memberi penjelasan berhubung tindakan pusingan U di saat akhir itu. “Malam ini kami akan bermesyuarat dengan seluruh ahli PAS Permatang Pauh mengenai perkara ini,” katanya.

 

PAS Permatang Pauh, sebelum ini memberi kata dua kepada PKR untuk menarik balik kenyataan berhubung hudud dan membuat permohonan maaf atau pihaknya akan memboikot jentera PKR bagi PRK Parlimen itu nanti.

 

Selain itu, PAS Permatang Pauh turut menjanjikan ‘kejutan’ kepada PKR, sekiranya parti itu gagal memenuhi desakan dikemukakan parti Islam itu.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, masih kekal dengan pendirian bahawa tidak timbul isu untuk menarik balik kenyataan berhubung hudud seperti didesak PAS Permatang Pauh.

 

Katanya, pihaknya sudah membuat perjumpaan tertutup bersama kepimpinan PAS kawasan itu bagi membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut, semalam.

 

“Kami sudah berbincang dan kedua-dua pihak sudah berpuas hati dengan keputusan itu. Justeru, saya anggap perkara ini sudah selesai,” katanya.

 

Mengulas kemungkinan berlaku sabotaj terhadap calon PKR, Azmin berkata, beliau percaya perkara itu tidak akan berlaku kerana keseluruhan jentera pakatan pembangkang menyokong Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk bertanding pada PRK Permatang Pauh. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.