Jenazah Dikebumikan Bertindih-Tindih

KUALA TERENGGANU – “Kami terpaksa kebumi jenazah secara bertindih-tindih sebab memang sudah tidak ada ruang lagi di sini,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chendering Pantai, Mohd Arif Sofian Mustaffa ketika ditanya mengenai tanah perkuburan di kampungnya.

 

Sofian berkata, sudah banyak kali permohonan dibuat untuk melebarkan satu-satunya kawasan tanah perkuburan utama di kampung berkenaan, dan terbaharu, ia dimohon dua tahun lalu.

 

“Kalau ada kematian, penduduk kampung perlu periksa dulu kawasan mana yang sudah lama (kubur lama), lepas tu baru gali dan memang bertindih-tindih.

 

“Tanah bersebelahan kawasan kubur luas lagi kalau kerajaan hendak jadikan tanah perkuburan, lagipun saya sudah bercakap secara lisan dengan pemilik tanah itu dan mereka bersetuju untuk dijadikan tanah kubur.

 

Sekarang tunggu arahan pihak berwajib sahaja,” katanya kepada Sinar Harian sempena Program Khidmat Masyarakat Kawasan Kuala Terengganu di Kampung Chendering Pantai, di sini.

 

Hadir sama, Yang Dipertua Dun, Datuk  Mohd Zuber Embong.

 

Menurut Sofian, kubur tunggal di kampungnya itu sudah berusia lebih 50 tahun dan memang memerlukan kawasan baharu untuk urusan pengebumian jenazah pada masa akan datang.

 

“Masalah ini sudah lama berlaku dan perlu diatasi segera kerana sekarang pun banyak (kubur) yang bertindih. Masalah ini menjadi ketidakselesaan kepada penduduk kampung,” katanya.

 

Dalam pada itu, Sofian berharap pihak berwajib dapat mengambil perhatian terhadap masalah yang dihadapi di Kampung Chendering Pantai.

 

Sementara itu, berhubung program, penduduk bersama Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Kawasan Kuala Terengganu, Kelab Belia Chendering dan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin serta Universiti Malaysia Terengganu turut terlibat membersihkan tanah perkuburan di kampung berkenaan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.