Jangan Sampai PAS Hilang Identiti Dengan PR

SHAH ALAM – AJK Pas Pusat, Nasrudin Hassan mempertikai sikap beberapa pemimpin Pas yang memandang rendah parti itu dan menganggap tanpa PR, Pas tidak akan ke mana-mana.

 

Menurutnya, perjuangan Pas sudah sejak sekian lama dengan dasar serta prinsip yang tidak pernah berubah sedangkan PR baharu saja mencari tapak.

 

“Ahli Pas semakin matang untuk memilih kabinet Pas yang kuat dan mantap ke arah mempersada Pas di pentas politik tanah air. Bukan lagi Pas yang pemimpinnya telah hilang keyakinan kepada kemampuan parti sendiri lalu ‘beriman’ bahawa PR lah yang menyebabkan Pas masih relevan sehingga hari ini

 

“Pas telah menempuh pahit maung perjuangan dan membesar dengan dasar dan prinsip yang tidak pernah berubah. Sedang PR baru wujud beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanalah ada pimpinan tertentu dalam Pas menganggap bahawa kehebatan dan kejayaan Pas adalah kerana PR. Tanpa PR, Pas tidak akan ke mana dan tidak berjaya sehingga tahap ini.

 

“Sikap sebegini adalah sikap memandang rendah pada keupayaan parti sendiri. Pemimpin sebegini adalah pemimpin yang mengalami sindrom atau penyakit ‘inferiority complex’ yang serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu memberitahu, tahaluf siyasi yang mengikat parti komponen dalam PR hanya untuk kerjasama politik yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

 

“PR adalah gabungan tiga parti yang bekerjasama dalam urusan politik pula tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Itulah terjemahan kepada ‘tahaluf siyasi’. Setiap parti mempunyai dasar dan prinsip perjuangan masing-masing.

 

“Kerjasama hanya melibatkan perkara politik yang disepakati. Adapun dasar dan prinsip perjuangan kekal menjadi hak parti masing-masing. Justeru itu satu kaedah telah dimaterikan antara ketiga-tiga parti iaitu ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ yang pastinya terpakai pada kes-kes silang dasar dan prinsip perjuangan setiap parti,” katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berpandangan sekiranya PR harmoni, ia akan menjadi tamparan hebat buat BN.

 

“Selama PR bergerak secara harmoni, saling menghormati hak dan dasar parti masing-masing maka ia adalah yang terbaik dan tentu sahaja ia menjadi tamparan hebat kepada Umno dan BN. Namun apabila PR dilanda krisis dalaman yang berpunca dari sikap ‘parti kami adalah bos’, ‘langkah kami mesti semua parti lain kena ikut’, ‘memaksa supaya parti meninggalkan dasar perjuangan atas alasan demi PR’ dan sebagainya, maka pemimpin Pas tidak boleh hilang keyakinan kepada parti sendiri.

 

“Pas mesti terus kekal berpaksi kepada dasar dan manhaj perjuangan Islam yang dibawanya. Sebagaimana PR kekal sebagai gabungan tiga parti yang terikat dengan syarat. PR bukan satu parti dan Pas tidak boleh larut dan hilang identitinya dalam PR,” katanya.

 

Katanya, PR mesti mengiktiraf dan menerima baik dasar perjuangan Pas namun sekiranya PR menolak atau menentang perjuangan Pas, pemimpin Pas tidak seharusnya hilang pedoman.

 

“Pas mesti kekal sebagai Pas yang membawa dasar dan manhaj perjuangan Islam. Ianya tidak boleh dileburkan semata-mata kerana PR. Sebaliknya PR mesti mengiktiraf dan menerima baik dasar dan manhaj perjuangan Pas termasuk membenarkan Pas memperjuangkan Islam dan mendaulatkannya di atas tanah air tercinta ini.

 

“Jika PR menolak atau menentang perjuangan Pas, maka bukan saja Pas mesti terus kekal atas dasar perjuangannya tanpa jejas tetapi pemimpin Pas juga tidak seharusnya hilang pedoman bagai anak kehilangan ibu. Lalu berkata bukan-bukan yang tidak selayaknya kepada parti sendiri. Sepertinya Pas akan berkubur tanpa PR,” katanya.

 

Malah tegasnya, kepimpinan ulama yang menerajui Pas hari ini bukan anti PR seperti yang didakwa sebaliknya ia fitnah jahat yang dikitar semula.

 

“PR terbentuk melalui prinsip Tahaaluf Siasi. Tahaaluf Siasi diluluskan oleh para alim ulama yang menerajui Pas. Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi antara pencetus ijtihad politik ini apabila beliaulah yang menyediakan kertas kerja berjudul ‘Pas : Tahaaluf Siyasi’ sejak awal 80-an lagi dan Pas telah melalui pelbagai corak pengalaman bertahaluf dengan parti-parti politik yang lain. Segalanya bermula dengan ijtihad tersebut. Justeru itu menganggap ulama anti PR khasnya terhadap Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah satu tanggapan yang salah dan keterlaluan.

 

“ Apa yang berlaku ialah para alim ulama kita melalui Multaqa Ulamak I dan II mahupun Muktamar Dewan Ulamak Pusat, adalah menegaskan bahawa dalam apa jua situasi, sama ada di dalam atau di luar tahaaluf siyasi, Pas mesti terus beristiqamah membawa dasar dan manhaj perjuangan Islamnya.

 

“Jika PR boleh menerima, maka itu yang selayaknya dan jika PR menolaknya maka Pas tidak boleh hilang rentak perjuangan. Para pemimpinnya tidak wajar ‘merintih’ dan ‘melutut’ mohon diterima sebaliknya pemimpin Pas mesti bangkit menjulang izzah (kemuliaan) perjuangan suci yang didukung,” katanya. – Sinar

One thought on “Jangan Sampai PAS Hilang Identiti Dengan PR

  • August 7, 2017 at 6:04 pm
    Permalink

    Syabas kpd kepimpinan PAS.!! pmimpin PAS yg mmpertikai itu patut keluar dri PAS dn masuk Amanah (yg tak Amanah), jadi barua DAP atau tubuh parti baru lagi. PR yg sbnarnya tak akan kemana mana tanpa PAS. PAS bukan boleh dipergunakan lg terutamanya oleh DAP. DAP akan selamanya mnjadi musuh Islam dan PAS. PAS akan bersama Umno dlm PRU 14 nnt.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.