Tabiat Penggunaan Air Penduduk Malaysia Perlu Diubah Untuk Elak Catuan

KUALA LUMPUR (Bernama) — Di sebalik langkah pencatuan yang dikenakan pihak berkuasa, penduduk Malaysia masih menggunakan purata 250 liter air atau kira-kira 160 botol 1.5 liter air seorang, setiap hari.

Melainkan mereka mengubah tabiat ini, pencatuan air tidak akan berkesan untuk mengatasi krisis air semasa, kata Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya Aldric Loong Kim Yew.

Beliau berkata pada masa ini penduduk Malaysia mencatatkan kadar penggunaan air tertinggi di Asia Tenggara, dengan purata penggunaan antara 220 hingga 250 liter sehari setiap orang.

“Daripada 220 hingga 250 liter yang kita gunakan setiap hari, hanya 30 untuk penggunaan sebenar seperti memasak dan minum, manakala bakinya pula digunakan untuk perkara misalnya mencuci kereta dan pakaian serta membasuh kolam setiap hari.

“Kadar ini tinggi berbanding negara jiran kita seperti Thailand dengan kadar penggunaan biasa kira-kira 160 hingga 170 sehari liter, Singapura antara 130 hingga 150 liter dan Indonesia 140 hingga 160 liter,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Loong percaya jika penduduk Malaysia dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 30 peratus secara beransur-ansur, kesannya boleh mengatasi krisis air.

Beliau juga percaya air yang boleh diperoleh dengan begitu mudah dan murah menjadikan penduduk Malaysia lalai dalam menghargai dan bersyukur dengan apa yang mereka ada.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) Foon Weng Lian menggesa kerajaan Pusat dan Negeri supaya mencari penyelesaian untuk mengubah tabiat pengguna yang membazirkan air.

Foon berkata sungguhpun kerajaan berusaha untuk meningkatkan bekalan air dengan membina loji rawatan air Langat 2, ia masih bukan merupakan penyelesaian kepada krisis air di Lembah Klang.

“Sebagai contoh jika anda mahu menyimpan lebih banyak air seperti Langat 2, pengguna perlu tahu cara untuk menjimatkan air. Kalau kita ada 100 projek sekalipun, ia tidak akan cukup bagi masa depan,” katanya.

Peringkat pertama catuan di Lembah Klang bermula pada 2 Mac melibatkan enam daerah iaitu Gombak, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, dan kini memasuki peringkat keempat melibatkan 6.7 juta pengguna.

Sementara itu, paras air di empangan Sungai Selangor yang membekalkan 62 peratus keperluan air Selangor adalah 38.9 peratus pada Selasa, menunjukkan sedikit peningkatan berbanding minggu lepas.

Selasa lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah pencatuan air di Selangor akan diteruskan memandangkan air di empangan Sungai Selangor berada pada paras kritikal dan hanya mampu bertahan 29 hari.

Pada Ahad, paras air di empangan itu adalah 89.29 juta meter padu atau hanya 38.82 peratus daripada kapasiti penuh 235.32 juta meter padu.

Beliau turut berkata catuan air berjadual akan disemak semula jika paras air di empangan Sungai Selangor meningkat kepada 55 peratus minggu depan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.