Anggota PKR mulai memilih sabtu ini

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengundi mulai esok untuk memilih barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Jawatankuasa Cabang parti bagi penggal 2014-2017.

Pengundian yang diadakan mengikut zon negeri itu akan memilih Timbalan Presiden, empat Naib Presiden, 20 anggota MPP serta kepimpinan di peringkat sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan.

Jawatan Presiden PKR dimenangi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menang tanpa bertanding, selepas suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan itu, Selasa lepas.

Seramai 247 calon sah bertanding merebut pelbagai jawatan parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan parti Datuk Johari Abdul dipetik sebagai berkata seramai 496,923 anggota parti layak mengundi barisan kepimpinan parti yang diadakan secara berperingkat mengikut negeri sehingga 11 Mei ini.

Daripada 222 cabang seluruh negara, anggota PKR di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak menjadi negeri terawal yang akan mengundi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, empat calon menawarkan diri merebut jawatan itu termasuk penyandangnya Mohamed Azmin Ali. Tiga calon lain ialah Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan anggota cabang Hulu Selangor Datuk K. Ramachandran.

Perebutan bagi jawatan nombor dua parti dilihat sengit antara Mohamed Azmin dan Abdul Khalid.

Siapakah yang bakal mengisi kerusi timbalan presiden, dilihat sangat penting bagi menyokong dan membantu presiden dalam menjayakan misi serta visi parti, yang sudah 15 tahun berada dalam arus perdana politik sejak ditubuhkan pada 1999.

Bagi jawatan Naib Presiden, 14 calon layak bertanding termasuk penyandangnya Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh, Tian Chua dan Datuk Dr Mansor Othman.

Jawatan naib presiden yang memperuntukkan secara keseluruhannya tujuh kerusi, empat kerusi diisi oleh mereka yang dipilih menerusi proses pemilihan manakala tiga lagi secara lantikan oleh presiden parti.

Ramai pihak menjangkakan bahawa kesemua penyandang akan menerima saingan sengit apabila persaingan untuk jawatan nombor tiga parti turut ditandingi beberapa pemimpin lama dan mereka yang kian meningkat naik.

Antara mereka yang disebut-sebut ialah Pengarah Strategi Mohd Rafizi Ramli, Pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Selangor Dr Xavier Jayakumar dan juga N. Surendran, yang sebelum ini adalah naib presiden secara lantikan.

Bagi penggal 2010-2013, dua lagi naib presiden dilantik ialah Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng dan Datuk John Tenewi Nuek dari Sarawak.

Menurut Fasal 21.7 perlembagaan PKR yang baharu, seorang daripada tiga Naib Presiden yang dilantik mestilah dari Sabah dan Sarawak. Fasal 24.3 pula menyebut Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah dan Sarawak secara automatik menjadi ahli biro politik parti.

Meneliti perebutan jawatan naib presiden, agak menarik diperhatikan ialah calon dari Sarawak iaitu Baru Bian turut bertanding jawatan itu meskipun secara dasarnya presiden parti boleh melantiknya sebagai naib presiden apatah lagi beliau adalah Pengerusi PKR Sarawak.

Apakah hasrat Baru Bian bertanding ingin menguji penerimaan dan popularitinya di kalangan anggota akar umbi di Semenanjung?

Baru Bian dilapor sebagai berkata hasratnya menawarkan diri untuk jawatan naib presiden adalah bagi mewakili ‘suara rakyat’ di Sabah dan Sarawak selain meletak harapan tinggi untuk dipilih, memandangkan dalam saingan itu, hanya beliau wakil tunggal Bumi Kenyalang manakala Negeri di Bawah Bayu pula tiada calon.

Bagi penganalisis politik, kesediaan Baru Bian bertanding memberi isyarat kepada kepimpinan parti bahawa kemasukan wakil dari Sabah dan Sarawak bukanlah hanya pelengkap kepada jumlah keanggotaan parti.

“Baru Bian perlu bertanding bagi menunjukkan pengaruhnya selain sebagai isyarat kepada kepimpinan bahawa mereka bukan hanya tempelan,” kata Che Hamdan Che Mohd Razali, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu kepada Bernama.

Che Hamdan berkata kewujudan kem-kem tertentu di dalam PKR seperti Saifuddin yang membentuk pasukan bersama Nurul Izzah dan Mohd Rafizi menyajikan elemen kejutan terhadap keputusan pemilihan Mei nanti.

Tidak kurang juga yang memandang sinis pembentukan pasukan tertentu dalam saingan pemilihan parti, dan menganggapnya lebih sebagai usaha mempromosikan kem-kem di dalam parti.

“Untuk jawatan naib presiden, pemimpin muda seperti (Mohd) Rafizi dan Nurul Izzah dilihat mempunyai harapan,” kata Che Hamdan.

Keputusan barisan kepimpinan baharu PKR dijangka diumumkan pada 13 Mei.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.