Ini Gerakan Terancang Untuk Gulingkan Dr Mahathir, Kata Khairuddin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Nurul Izzah Anwar mengenai kepayahan beliau bekerja di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad yang disifatkan sebagai bekas diktator yang telah banyak merosakkan negara dan keluarganya mendapat reaksi dari rakan-rakan Pakatan Harapan.

Antara yang menyelar kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu malam tadi adalah Penyelaras Parlimen Jasin, Khairuddin Abu Hassan dan bekas Naib Presiden PKR, N. Surendran.

Khairuddin menyifatkan pandangan Nurul Izzah yang dilontarkan semasa temuramah dengan Straits Times Singapura itu sebagai amat emosional dan tidak rasional selain tidak beretika.

“Memberi komen-komen negatif terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad di luar negara amat tidak wajar!! Ini cukup tidak beretika!!

“Di dalam negara; kita semua lafaz sokongan pada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia tetapi bila berada di luar negara kita beri gambaran negatif pula terhadap beliau!!” katanya dalam hantaran di laman Faebook.

Nurul Izzah dalam temuramah yang disiarkan semalam turut membuat rumusan kerajaan Pakatan Harapan sebagai dangat mencabar dan huru-hara menyebabkan beliau patah hati untuk terus berada dalam kerajaan.

Mengulas lanjut, Khairuddin turut secara tidak langsung mempertikaikan keikhlasan Nurul Izzah apabila anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menggunakan platform luar negara sedangkan beliau boleh meluahkan rasa tidak puas hati itu kepada Dr Mahathir.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Nurul Izzah terus mengungkit kisah-kisah silam di saat semua sudah berikrar untuk berganding bahu secara erat bagi membina semula negara yang beliau dakwa rosak teruk di bawah kerajaan sebelum ini.

“Inilah masalah di antara rakan-rakan dalam Pakatan Harapan!! Segelintir daripada mereka tidak ikhlas sesama sendiri!!

“Sekiranya inilah sikap tidak ikhlas dan tiada semangat kesetiakawanan sesama kita; macam mana tun dr mahathir mohamad nak kemudi negara ke era lebih gemilang dan cemerlang?” soal beliau.

Maruah negara

Beliau juga percaya bahawa Nurul Izzah yang matang dalam politik turut bersetuju pandangan yang dilontarkan terhadap perdana menteri di Singapura sebagai amat tidak beretika dan bakal mengaibkan imej Dr Mahathir serta mencemar maruah negara.

“Ini adalah satu gerakan yang dirancang secara terancang untuk menjatuhkan kredibiliti tun dr mahathir mohamad seterusnya menggulingkan beliau dari jawatan Pedana Menteri Malaysia!!” katanya.

Khairuddin juga merumuskan apa yang berlaku adalah gerakan untuk menggulingkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia yang masih digerakkan oleh pihak tertentu demi mencapai agenda politik mereka.

Beliau turut menasihatkan perdana menteri supaya berwaspada di antara bulan Mac sehingga November tahun ini.

“Seandainya kalangan parasit ini bersikap keterlaluan; saya akan perangi mereka secara habis-habisan walaupun terpaksa lawan seorang diri!!

“Alang-alang seluk pekasam; biar sampai ke pangkal lengan!!’ Pantang anak melayu berundur sebelum melawan!!” katanya.

Sementara itu bekas Naib Presiden PKR, N. Surendran di laman Twitternya juga mempertikaikan kenyataan Nurul Izzah dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Adakah ini boleh diterima? Ketika ada pertikaian tentang perjanjian air dan konflik wilayah, ahli parlimen PH menyatakan bahawa perdana menteri sebagai “bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan’ dalam wawancara akhbar harian utama Singapura.

“Masa, ruang dan cara ia disampaikan, semuanya tidak betul,” kata Surendran.

Dalam temuramah itu, Nurul Izzah yang meletak jawatan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga membangkitkan tindakan Pakatan Harapan menerima masuk wakil rakyat Barisan Nasional yang melompat parti. – MalaysiaGazette

2 thoughts on “Ini Gerakan Terancang Untuk Gulingkan Dr Mahathir, Kata Khairuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.