Polis Tahan Pegawai Imigresen Disyaki Rogol Pendatang Asing

AYER KEROH – Polis menahan seorang anggota Jabatan Imigresen yang disyaki terbabit kes rogol seorang tahanan wanita warga Thailand di negeri ini, awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan, berkata suspek lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Imigresen, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, kira-kira jam 5.30 petang.

“Polis akan memohon perintah reman daripada mahkamah hari ini untuk menjalankan siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Kita akan siasat juga dakwaan persetubuhan luar tabii berdasarkan laporan doktor yang membuat pemeriksaan terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-210 peringkat kontinjen serentak seluruh negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seorang tukang urut warga Thailand berusia 32 tahun mendakwa dirogol oleh anggota Imigresen ketika ditahan di Depoh Tahanan Machap Umboo, Alor Gajah, pada 9 Mac lalu.

Adik mangsa yang turut ditahan di depoh sama membuat laporan polis mengenainya di Balai Polis Melaka Tengah, selepas dibebaskan.

Pihak Jabatan Imigresen sudah memanggil anggota berkenaan dan tindakan tatatertib akan dikenakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) Pindaan 2002, jika terbukti penjawat awam itu melanggar peraturan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.