SPRM Sahkan Tahan 16 Individu Termasuk 6 Anggota TLDM

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menahan 16 individu bagi membantu siasatan dalam kes yang membabitkan pembekalan barangan dan peralatan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baru-baru ini.

 

Pengarah Bahagian Siasatan, Datuk Mohd Jamidan Abdullah, berkata daripada jumlah berkenaan, enam adalah anggota TLDM manakala bakinya adalah orang awam yang kebanyakannya adalah ahli perniagaan dan orang tengah.

 

Pegawai dan anggota TLDM terdiri daripada pegawai yang berpangkat Pegawai Pemerintah, Leftenan Komander, Leftenan Tentera Laut dan Laskar Kanan.

 

“Semua mereka ditahan pada 9 dan 11 Mac 2015 di Kuala Lumpur, Manjung, Ipoh dan Lumut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan juga Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Semua 16 individu terbabit telah dibebaskan selepas ditahan reman antara tujuh hingga 10 hari.

 

Mohd Jamidan berkata, setakat ini SPRM sudah membekukan wang dalam simpanan sebanyak RM23 juta. Nilai itu termasuklah saham lebih RM5 juta. Wang tunai lebih RM200,000 juga dirampas. Lebih 240 akaun bank turut dibekukan.

 

Selain itu sebanyak 13 kereta, antaranya Lamborghini, BMW, Mercedes-Benz dan Audi juga disita.

 

Dalam operasi itu, SPRM turut merampas sejumlah jam tangan berjenama mewah seperti Louis Vuitton, Patek Philippe, Tag Heuer dan Frederique Constant.

 

Siasatan kes ini masih dijalankan, kata Mohd Jamidan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.