Polis Teliti Klip Video Pemuda Larikan Beg Tangan

REMBAU – Polis tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung kejadian seorang lelaki membawa lari sebuah beg tangan wanita dipercayai mangsa kemalangan jalan raya di sini malam kelmarin.

 

Ketua Polis daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, pihak polis mengetahui wujudnya satu klip video mengenai kejadian itu tetapi belum ada pihak tampil membuat laporan di sini.

 

“Setakat hari ini (semalam) tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut, tetapi pihak polis akan menyiasat perkara itu dengan meneliti rakaman klip video berkenaan,” katanya di sini semalam.

 

Klip video berdurasi 2 minit 19 saat itu memaparkan seorang lelaki memakai baju berwarna gelap secara melulu keluar dari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza mengambil beg tangan yang berada di tengah jalan.

 

 

Perbuatan lelaki tersebut membangkitkan kemarahan orang ramai dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak bermoral.

 

Gelagat lelaki terbabit berjaya dirakamkan seorang pengguna jalan raya yang secara kebetulan merakam kesesakan akibat kemalangan di lebuh raya berkenaan.

 

Kejadian dipercayai berlaku malam tadi di Kilometer 232.3 dan 232.6 di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan.

 

Bagaimanapun, seorang wanita menggunakan nama ‘Zuera Iera’ tampil di laman sosial Facebook menjelaskan keadaan sebenar dengan memberitahu bahawa MPV dalam video yang tersebar itu adalah miliknya.

 

Antara dakwaannya, “Ketika kejadian bukan saya yang memandu Alza tersebut tetapi ia dipandu oleh kawan adik saya dan adik saya turut berada dalam Alza tersebut. Yang mengambil beg tersebut adalah kawan adik saya. Saya akan membuat laporan polis sebentar lagi bagi membersihkan nama saya”.

 

Kejadian di Kilometer 232.3, Lebuh Raya PLUS, arah selatan dekat sini menyebabkan tujuh sekeluarga nyaris rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh bahagian belakang sebuah lori tiga tan lalu terbakar.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 malam itu, mangsa, Julkipli Jamad, 36, memandu kereta Proton Persona yang dinaiki isteri dan lima anaknya berusia dua hingga 15 tahun dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor.

 

Difahamkan, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Julkipli hilang kawalan lalu merempuh tayar belakang kanan sebuah lori menyebabkan keretanya musnah terbakar.

 

Menurut Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Hakim Awang, kesemua tujuh sekeluarga yang hanya mengalami kecederaan ringan sempat keluar dari kenderaan yang terbakar.

 

“Anggota bomba segera mengawal kebakaran membabitkan kereta Proton Persona itu manakala pemandu lori berusia 42 tahun serta kelindan berusia 46 tahun yang cedera juga berjaya dikeluarkan dari kenderaan.

 

“Kesemua sembilan mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

 

Tambah beliau, seorang lagi pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer berusia 30-an yang terlibat dalam kemalangan di lokasi berhampiran iaitu di Kilometer 232.6, Lebuh Raya PLUS arah sama tidak mengalami kecederaan serius. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.