Penyiasat Teliti Serpihan Cari Petunjuk Nahas Pesawat Germanwings

SEYNE-LES-ALPES (Perancis) – Pasukan penyiasat Perancis akan meneliti serpihan pesawat bagi mengumpulkan seberapa banyak petunjuk untuk merungkai punca pesawat pesawat Airbus milik Germanwings terhempas di pergunungan Alps, semalam.

 

Nahas udara itu mengorbankan semua 150 orang di dalam pesawat termasuk 16 kanak-kanak sekolah yang pulang daripada program lawatan pertukaran ke Sepanyol.

 

Pesawat A320 milik anak syarikat kepada Lufthansa itu terhempas di kawasan lurah pergunungan semalam ketika dalam penerbangan melintasi Perancis dari Barcelona, Sepanyol ke Duesseldorf, Jerman.

 

Tiada panggilan kecemasan diterima dari pesawat namun kerajaan Perancis berkata, salah satu daripada kotak hitam pesawat ditemui di kawasan terhempas yang terletak di ketinggian 2,000 meter dari paras laut.

 

Difahamkan kotak hitam berkenaan adalah perakam suara di kokpit pesawat.

 

Penyiasat dikatakan memerlukan satu lagi kotak hitam iaitu perakam data penerbangan dan maklumat daripadanya amat penting untuk menentukan punca nahas udara itu.

 

Penyiasat penerbangan awam dari Perancis (BEA) dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu lewat petang ini.

 

Di Washington, Rumah Putih mengeluarkan kenyataan bahawa punca nahas bukan disebabkan daripada serangan pengganas. – Reuters/Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.