Parlimen: Kerajaan Jamin Tarif Elektrik Tidak Naik Tahun Ini – Maximus Ongkili

Kuala Lumpur – Kerajaan mengulangi jaminan tarif elektrik tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

 

Katanya, kerajaan sedang melakukan semampu mungkin untuk mengelak kenaikan itu dan memantau perubahan kos bahan bakar yang digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik seperti gas asli berpaip, arang batu dan gas asli cecair (LNG).

 

 

“Tertakluk kepada kedudukan kos input ataupun bahan api. Pada masa ini, kerajaan memberikan subsidi kepada bahan bakar utama untuk elektrik seperti gas asli berpaip.

 

“Kos bahan api arang batu pula ia begitu stabil dan kami ramalkan tidak banyak penurunan harga pasaran bagi arang batu,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin tahu sama ada kerajaan dapat memberi jaminan bahawa tarif elektrik tidak akan dinaikkan sepanjang tahun ini sekiranya harga bahan bakar untuk elektrik kekal seperti sekarang.

 

Terdahulu, menjawab soalan asal Ahmad Fauzi yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menurunkan tarif elektrik Ongkili berkata, walaupun berlaku penurunan harga minyak dunia sejak pertengahan tahun lepas, ia tidak memberi kesan ketara kepada tarif elektrik.

 

Katanya, ini kerana bahan bakar minyak hanya menyumbangkan satu peratus sahaja kepada keseluruhan campuran bahan bakar untuk menghasilkan tenaga elektrik yang campuran utamanya ialah gas asli berpaip, LNG dan arang batu.

 

“Pada masa sama kos penjanaan elektrik berjaya dikurangkan kerana prestasi loji-loji jana kuasa arang batu telah meningkat sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan bakar lain yang tinggi harganya,” katanya.

 

Menjelas lanjut, Ongkili berkata, susulan senario itu, terdapat penjimatan melalui mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) sebanyak RM726.99 juta dan kerajaan memutuskan memberi penjimatan itu kepada pengguna di Semenanjung Malaysia dengan rebat 2.25 sen/kWj bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Jun depan.

 

Katanya, keputusan ini akan melibatkan semua pengguna domestik dalam lingkungan pengguna melebihi 300kWj sebulan dan semua pengguna komersial dan industri.

 

“Mekanisme ICPT masih belum diimplementasikan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, namun selaras dengan penurunan harga minyak mentah dunia, terdapat penjimatan dalam pelbagai bahan api.

 

“Untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan bersetuju agar purata kadar tarif 34.52 sen/kWj diturunkan sebanyak 1.20 sen/kWj bagi Sabah dan Labuan bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Jun 2015,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.