‘Pamela Anderson’ Pilih Daud Sebagai Suami

Selepas beberapa kali hubungan cintanya gagal, akhirnya aktres seksi dan kontroversi Mazlina Hassan Nordin atau lebih popular sebagai Lana Nodin bertemu jodoh dengan jejaka dari Amerika Syarikat, David Mckienzie yang kini menetap di Singapura.

 

Pasangan ini berkenalan kali pertama pada 26 Oktober tahun lalu mengambil keputusan untuk menghalalkan hubungan pada 15 Mei depan.

 

Bakal suami Lana merupakan pemain bola tampar Amerika Syarikat dan mewakili negaranya di peringkat Sukan Olimpik.

 

Beliau telah memeluk Islam pada 5 Disember tahun lalu dan kini dengan nama muslim, Mohammad Daud Mckienzi Abdullah.

 

“Saya rasa bertuah dan berharap persiapan perkahwinan kami berjalan lancar sehingga ke hari pernikahan nanti,” kata pelakon yang terkenal dengan jolokan sebagai ‘Pamela Anderson Malaysia’ dalam satu sidang media khas mengumumkan tarikh bahagianya itu di Kuala Lumpur, sebentar tadi.

 

Majlis akad nikah Lana, 35, dan David, 35, akan berlangsung pada sebelah pagi di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Mereka juga akan mengadakan majlis berinai sehari sebelum itu di lokasi yang sama.

 

Uniknya pada majlis pernikahan nanti, David akan menjemput teman-teman pasukan bola tamparnya untuk menjadi sebagai pembawa dulang hantaran.

 

Sementara majlis resepsi akan diadakan pada sebelah malam di situ.

 

Mengenai persiapan perkahwinan, media difahamkan Lana akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa menerusi laman sosial Instagram miliknya.

 

Lana sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan lelaki warga asing selain golongan kenamaan (VIP) termasuk pelakon Johan As’ari dan Mas Hidzir Mas Khan.

 

Namun, Lana akhirnya membuktikan hanya David atau Daud berjaya menawan hatinya dan serius untuk berumah tangga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.