Nina Tak Mahu Jadi Bodoh Seperti Isteri Kekasihnya

“Saya diam, saya kunci mulut bukan bererti saya kalah tetapi sebab saya tidak mahu jadi bodoh macam dia. Saya tidak mahu panjang-panjang cerita,” komen pelakon kontroversi Putri Mardiana atau Nina ketika dihubungi Malaysian Digest, semalam.

 

Pelakon filem Ngangkung itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dibuat wanita bernama Nor Hasni yang merupakan isteri kepada teman lelakinya, Shahrizam Abdullah yang dikenali sebagai E-jump.

 

Pada masa sama Nina, 33, juga menyatakan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman jika wanita itu masih lagi berterusan membuat kenyataan memburuk-burukkan diri aktres itu.

 

“Diam, tidak bermakna saya tidak melakukan apa-apa. Saya perhatikan saja sampai mana dia nak pergi.

 

“Jika dia masih lagi buat kenyataan memburuk-burukkan saya, saya akan saman dia,” ujarnya dengan nada tegas.

 

Beberapa hari lalu, Nor Hasni membuat kenyataan panjang lebar di akaun Facebook miliknya mendakwa kenyataan yang dibuat Nina dalam akhbar tempatan juga di televisyen baru-baru ini dan merasakan semua kenyataan itu palsu dan tidak tepat.

 

Menerusi tulisannya itu selain mempertahankan diri, Nor Hasni mendedahkan bahawa Nina dan E-jump ditangkap khalwat kali kedua di atas katil di dalam bilik tidurnya.

 

“Namun, apabila saya datang dalam hidup E-jump, dia pandai pula nak mengaku itu suaminya. Dia cemburu?,” ujarnya sekaligus menyifatkan isteri kekasihnya berperangai kebudak-budakan.

 

Jelas Nina lagi, dia mula menjalin hubungan dengan kekasihnya itu selepas kira-kira enam bulan selepas Nor Hasni memfailkan cerai terhadap lelaki tersebut.

 

“Saya bukan perampas suami orang. Dia fail cerai bulan lima, saya datang dalam hidup E-jump Disember,” katanya.

 

Nina sebelum ini pernah berkahwin dan dikurniakan 3 cahaya mata yang kini dibawah jagaan bekas suaminya.

 

Terdahulu, sekitar Disember tahun lalu media melaporkan selebriti berstatus janda ditangkap khalwat bersama seorang lelaki di kondominium di Ukay Perdana.

 

Dalam satu kenyataan kepada Malaysian Digest, Nina mendakwa penangkapan itu sengaja dirancang bekas teman lelakinya.

 

Bagaimanapun, dia menganggap apa yang berlaku satu hikmah meskipun dikecam teruk dan terpaksa menanggung malu.

 

Pada 7 Mac lalu, pasangan itu dilaporkan ditangkap khalwat kali kedua kira-kira jam 4 pagi di kediaman Nor Hasni di USJ 1, Subang Jaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.