Muhammad Rafiq Raih Pingat Emas Pertama Negara

MALAYSIA memperoleh pingat emas pertama menerusi Muhammad Rafiq Ismail pada Kejohanan Tenpin Boling Belia Asian ke-18 di Macau , semalam.

 

Muhammad Rafiq kekal tanpa tentangan dan menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-18nya hari ini dengan memenangi pingat emas perseorangan lelaki.

 

Menurut Persekutuan Boling Asian (ABF) dalam laman sesawangnya, pemenang pingat perak dalam semua acara di Kejohanan Asia 2015, Muhammad Rafiq menetapkan penanda aras dengan jatuhan 1,615 pin untuk menang selesa menerusi kelebihan 135 pin.

 

“Saya tidak mengimpikan hadiah hari jadi yang lebih baik selain daripada memenangi pingat emas pertama saya di sini, kata Muhammad Rafiq yang memenangi dua pingat perak dan satu pingat gangsa di Kejohanan Asia, Januari tahun ini.

 

Memecahkan dua rekod dalam kejohanan kali ini telah menambahkan seri kepada kejayaan saya. Saya harap untuk mengekalkan prestasi itu dalam acara berpasangan, berpasukan dan masters,” katanya.

 

Sementara itu, hari ini, 40 peserta termasuk empat wakil wanita negara Natasha Roslan, Nora Lyana Natasia, Nur Amirah Auni Azman dan Nur Syazwanu Sahar  akan beraksi dalam acara perseorangan.

 

Pertandingan akan bersambung dengan acara lelaki berpasangan pada 26 Mac sementara wanita berpasangan pada 27 Mac ini. – Bernama/Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.