Lebih 500 Rumah Atas Air Hangus Terbakar

Semporna – Sebanyak 590 buah rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

 

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, api merebak terlalu cepat kerana jarak antara rumah di kampung itu yang sangat rapat.

 

“Pihak bomba juga berdepan masalah bekalan air dan terpaksa menggunakan pam bagi mengepam air laut untuk memadamkan api,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

 

Menurutnya lagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu pada jam 2 pagi tadi, dan jentera bomba tiba di lokasi lima minit kemuudian.

 

Sementara itu agensi berita Bernama memetik Ketua Balai Bomba Semporna Fazizul Hizam Borhan berkata, dua jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 2.02 pagi.

 

“Bomba sampai di tempat kejadian lima minit kemudian apabila api sedang marak dan kira-kira 60 peratus rumah sudah terbakar.

 

“Anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan api disebabkan masalah air dan terpaksa menggunakan bot awam untuk mendapatkan bekalan air laut untuk memadam kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

 

Pihaknya turut dibantu satu jentera dan enam anggota dari Balai Bomba Tawau, satu jentera dan enam anggota (balai Kunak) dan lebih 20 anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

 

Fazizul Hizam berkata api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 6.56 pagi dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.