Kos Hidup Di Pulau Pinang Makin Tinggi

GEORGETOWN – Sebuah portal berita melaporkan Pulau Pinang menduduki tempat pertama dengan kos sara hidup paling tinggi di Malaysia.

 

Bagaimanapun kajian berkenaan memaklumkan, kos tinggi berkenaan ditanggung oleh penduduk di kawasan pulau berbanding dengan kawasan Seberang Perai.

 

Selain Pulau Pinang, Bintulu di Sarawak, Kuala Lumpur dan Kerteh di Terengganu juga antara bandar paling tinggi bagi kos sara hidup seharian.

 

Hasil tinjauan mendapati sememangnya kos sara hidup di negeri ini setiap tahun semakin meningkat dan kebanyakan penduduk tidak kira masih bujang atau yang sudah berkeluarga mengakui jumlah kos setiap bulan naik secara tidak sedar.

 

Siti Huraizah Abdul Rahman, 36, berkata, dia terpaksa menghabiskan kira-kira RM3,500 sebulan untuk membayar pinjaman kenderaan, rumah, kos pendidikan dan penjagaan anak-anak serta keperluan lain.

 

Menurutnya, dia tidak menafikan kos hidup semakin naik setelah lama menetap di negeri ini.

 

“Antara faktor penyumbang paling tinggi ialah bayaran untuk harga sewa atau pinjaman perumahan.

 

“Memang boleh dikatakan penduduk di sini membayar kos perumahan hampir sama dengan penduduk di Kuala Lumpur, begitu juga dengan bekalan bahan mentah, sebulan saya habiskan RM750,” katanya.

 

Bukan itu saja, katanya disebabkan harga barang yang semakin mahal, ada antara peniaga kecil terutamanya penjual makanan menaikkan harga sesuka hati.

 

“Kuih yang kecil pun dijual dengan harga 50 sen. Mahu tidak mahu, ada juga pembeli kerana kebanyakannya bekerja dan tidak ada masa untuk memasak,” katanya.

 

Terpaksa niaga untuk tambah pendapatan

 

Sementara itu, Mohd Khairul Anwar, 27, berkata, dia terpaksa memperuntukkan RM2,000 sebulan untuk membayar pelbagai bil dan hutang.

 

“Saya menetap di kawasan pulau dan memang ada sedikit perbezaan antara menetap di pulau atau seberang.

 

“Di pulau kos sewa rumah tinggi namun, harga makanan sama sahaja,” katanya.

 

Menurutnya,  walaupun dia belum berkeluarga tetapi dia perlu berjimat disebabkan kos hidup yang semakin meningkat.

 

“Saya terpaksa menjalankan perniagaan menjual nasi lemak secara kecil-kecilan untuk tambah pendapatan.

 

“Kalau harapkan gaji bulanan memang tidak cukup.

 

“Untuk lebih jimat, saya lebih gemar masak di rumah daripada membeli makanan di kedai,” katanya.

 

Makan di rumah untuk jimat

 

Juruhebah dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini, Shamimi Shazwani Samsudin, 29, turut mengakui makan di rumah mampu menjimatkan perbelanjaan setiap bulan.

 

Menurutnya, dia mampu jimat sehingga RM200 hingga ke RM300 setiap bulan sekiranya memasak.

 

“Jika sering makan di luar memang agak tinggi, untuk nasi campur sahaja boleh cecah RM8 sebungkus.

 

“Itu kalau sekali makan, jika dari pagi hingga ke malam makan di luar saja, pasti jadi RM50 sehari, atau mungkin lebih jika kita pergi ke restoran dan sebagainya,” katanya.

 

Sehingga kini kos hidupnya lebih banyak tertumpu kepada anaknya yang berusia tiga tahun.

 

Untuk anak sekecil itu, dia terpaksa membayar kos setiap bulan lebih daripada RM400.

 

“Macam mana pun, itulah yang kita perlu hadapi, berbelanjalah dengan berhemah untuk menangani kos kehidupan yang tinggi,” katanya.

 

Bagaimanapun situasi berbeza bagi Muhammad Izzwandy Mamat, 30, yang masih menganggap kos hidup di negeri ini masih rendah berbanding dengan bandar-bandar besar yang lain.

 

“Memang saya terpaksa bayar pelbagai bil, tetapi pada saya duduk di sini lebih murah,” katanya.

 

Trend beli rumah berubah

 

Sementara itu, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Ahmad Yakqub Nazri berkata, beliau setuju dengan pendapat yang mengatakan kawasan pulau negeri ini mempunyai kos hidup paling tinggi.

 

“Itu tidak dapat dinafikan lagi. Paling ketara ialah harga rumah, trend membeli rumah sekarang semakin berubah ke kawasan Seberang Perai atau Kulim.

 

“Sedangkan sebenarnya kesemua mereka ini adalah anak Pulau Pinang, dan tinggal di kawasan Georgetown, tetapi akhirnya kena berpindah dari tempat asal,” katanya.

 

Beliau bertambah kesal apabila Pulau Pinang menjadi antara tempat yang paling hebat dalam bidang perumahan, tetapi masyarakat kita masih gagal mendapatkan perumahan yang lebih baik, sebagai contohnya masih ada pasangan suami isteri yang terpaksa menyewa bilik, ada juga yang tinggal di rumah pangsa kecil, sedangkan anak-anak semakin ramai.

 

“Ini semuanya kerana kos hidup yang sudah tinggi, jadi siapa yang masih kata kos hidup di Pulau Pinang ini rendah?,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.