Kemelut PAS vs DAP, PKR Sedia Jadi Orang Tengah

KUALA LUMPUR – PKR akan menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing antara Pas dan DAP.

 

Naib Presidennya, Rafizi Ramli berkata, PKR tetap yakin bahawa ketiga-tiga parti itu tetap akan bersama dalam PR.

 

“PKR telah membuat keputusan untuk menjadi orang tengah bagi memperbaiki hubungan yang merosot diantara parti DAP dan Pas ekoran serangan terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (hudud),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

 

Beliau turut memberi gambaran bahawa PR tidak boleh berkhidmat dengan baik kepada rakyat tanpa ketiga-tiga parti dan proses perdamaian itu perlu diutamakan oleh DAP dan Pas.

 

“PR diibaratkan seperti ‘tripod’, kami tidak boleh hidup tanpa salah satu kaki. Selain, saya merasakan adalah lebih baik untuk ketiga-tiga parti duduk berbincang,” katanya.

 

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan itu enggan mengulas lanjut mengenai keputusan sebenar PKR ekoran parti itu akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh beberapa hari lagi.

 

“PKR juga akan menemui Pas dan DAP secara berasingan,” katanya lagi.

 

Sebelum ini, Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, menerusi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng telah menyatakan pihaknya hilang kepercayaan dan keyakinan pada Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin Pakatan Rakyat dan akan memutuskan hubungan serta menghentikan kerjasama dengan beliau. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.