Jawhar Nafi Pejabat Menteri Anjur Pakej Umrah

KUALA LUMPUR – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) hari ini menafikan sebarang bentuk penganjuran pakej umrah yang didakwa dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang turut melibatkan Pejabat Perdana Menteri.

 

Ketua Pengarahnya , Datuk Anan C. Mohd. berkata, pihaknya telah membuat semakan dengan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu dan mendapati kedua-duanya tidak terlibat dengan penganjuran pakej tersebut.

 

Katanya, program dan pakej umrah tersebut dilaporkan telah berlaku di beberapa tempat terutamanya sekitar Lembah Klang dan kini telah menular ke Langkawi, Kedah dengan menggunakan modus operandi yang sama.

 

“Sehubungan itu, Jawhar menafikan sama sekali penglibatan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri Malaysia terhadap sebarang bentuk penganjuran program pakej umrah tersebut.

 

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak penganjur terbabit difahamkan telah membuat kutipan sebanyak RM500 bagi setiap penyertaan dan ini merupakan satu penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi memanipulasi orang ramai dengan program tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

 

Dalam pada itu, Anan berkata, pada masa ini terdapat tiga bentuk utama penipuan pakej umrah iaitu penipuan dengan niat enggan mengadakan perkhidmatan, penipuan yang berkaitan dengan pakej umrah seperti gores dan menang, cabutan bertuah, kad seumur hidup serta perkhidmatan tidak sama seperti yang dijanjikan.

 

Katanya, modus operandi penipuan pakej umrah antaranya menawarkan pakej umrah yang murah, perniagaan jualan langsung (MLM) dan tajaan di mana jemaah hanya perlu membayar sebahagian sahaja kos sebenar manakala sebahagian kos lagi ditanggung oleh individu atau pihak-pihak tertentu serta menggunakan orang yang berpengaruh seperti artis, ustaz dan imam.

 

“Jawhar selaku ahli Majlis Kawal Selia Umrah ingin mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan penipuan pakej umrah yang seringkali menggunakan nama-nama pemimpin dan orang kenamaan untuk menarik mangsa.

 

“Orang ramai disarankan supaya menyemak di laman web Jawhar dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi memastikan syarikat-syarikat serta pakej umrah yang ditawarkan mempunyai lesen yang sah sebelum membeli sebarang pakej umrah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.