Itu Fitnah, Bukan Hal Aku – Kaka Azraff

Selama ini dia tergolong antara artis yang bersih daripada kontroversi mahupun gosip liar.

 

Namun, tidak semena-mena pada minggu lalu nama Kaka Azraff menjadi bualan hangat ekoran satu dakwaan kononnya dia ‘orang ketiga’.

 

Lebih berat dakwaan itu sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa dirinya menjadi punca keretakan hubungan percintaan antara pelakon Tasha Shila dengan teman lelakinya, Hans.

 

Mengaku terkejut dengan tuduhan tersebut, Kaka yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Bukan Hal Aku, semalam, menyatakan dia tiada kena mengena dengan masalah hubungan pasangan itu.

 

“Saya dan Tasha hanyalah kawan dalam industri. Kami tidak rapat pun sekadar pernah berjumpa di beberapa majlis hiburan.

 

“Apabila nama saya dikaitkan dengan kisah macam ini, saya terkejut sebab dakwaan itu tidak benar.

 

“Saya tidak pernah kenal apatah lagi berhubung menerusi mana-mana media sosial dengan Hans. Saya pun tidak pernah pergi bercuti bersama dia seperti didakwa,” tegasnya ketika memberi penjelasan.

 

Tambah pemilik nama sebenar Nor Atikah Noor Azraff, 26, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa yang menimbulkan cerita tersebut. Sebaliknya, menganggap gosip itu sudah berakhir.

 

“Saya tidak mahu keruhkan lagi keadaan. Bagi saya hal macam ini sangat remeh dan seperti satu fitnah tetapi tidak perlu saya mencari orang yang membuat cerita ini.

 

“Bagi saya gosip ini sudah pun berakhir. Lagipun, saya dengar mereka (Tasha dan Hans) sekarang sudah berbaik semula,” katanya yang juga mengakui kini sedang mengenali seseorang tetapi hubungan mereka belum ke tahap sebagai pasangan kekasih.

 

Dalam pada itu timbul juga dakwaan dek kerana gosip dirinya didakwa perosak hubungan orang lain itu menyebabkan dia mengelak hadir di majlis malam berinai pelakon Sharifah Sakinah yang berlangsung pada Sabtu lalu.

 

Ketiadaannya menimbulkan tanda tanya peminat sedangkan sebelum ini dia antara sebagai rakan baik Sakinah yang turut meraikan ‘parti bujang’ aktres itu yang diadakan di Bali beberapa bulan lalu.

 

“Oh, saya bukan sengaja tidak hadir tetapi sebab sibuk dengan penggambaran. Majlis persandingan Hanez Suraya pun saya tak sempat nak hadir sebab ketika itu saya di lokasi penggambaran

 

“Saya bukanlah rakan rapat Sakinah cuma rakan dalam industri. Sewaktu acara parti bujangnya tempoh hari, sebetulnya saya diundang AirAsia sebagai salah seorang artis yang turut menjayakan parti parti tersebut,” jelasnya yang kini masih sibuk dengan penggambaran drama  bersiri Dunia Generasi Baru.

 

 

Imej Baru

 

Beralih pula mengenai Bukan Hal Aku, single berentak Pop, Hip Hop dan R&B ciptaan sepenuhnya The GoodFellas disifatkan Kaka sebagai lagu yang sangat dekat dengan jiwanya.

 

Lebih istimewa lagu ini juga mengubah imej Kaka yang kini tampil dengan gaya ‘Agy Hip Hop’ dan ‘Street Style’.

 

Tambah anak saudara kepada ratu Rock Ella ini lagi, sudah lama dia menantikan saat untuk muncul dengan muzik yang digemarinya iaitu Hip Hop dan R&B.

 

“Sebelum ini saya tampil dengan Bawaku Pergi dan Infiniti Cinta sebagai perkenalan saya dalam industri. Terpulanglah taruhan kali ini membuktikan vokal saya.

 

“Sebenarnya, muzik Hip Hop dan R&B adalah jiwa saya. Walaupun ibu saudara saya seorang penyanyi rock tetapi bila saya menyanyikan lagunya, saya sedar tidak boleh menyanyikannya dengan versi muzik rock sebaliknya R&B.

 

“Jadi, sudah tiba masanya saya saya muncul lagu muziknya kena dengan jiwa saya. Malah, lagu ini sebenarnya saya rasa dekat dengan diri saya.

 

“Ia juga sebuah lagu yang menyuntik inspirasi buat golongan wanita untuk kekal bersemangat dan menjalani setiap situasi yang hadir dalam kehidupan masing-masing”, katanya yang akan muncul dengan album penuh dijangka sebelum hujung tahun ini.

 

Menjalani proses rakaman hanya satu hari, Bukan Hal Aku juga mengabadikan kolaborasi Kaka bersama kumpulan Sleeq.

 

Selain itu, video muziknya pula menampilkan rakan baik Kaka iaitu Juliana Evans. Diarahkan Ghaz Abu Bakar, muzik video tersebut memperlihatkan Kaka cuba ‘bermain’ dengan fesyen terkini yang bersesuaian dengan lagu dan imejnya sekarang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.