Harga Rumah PR1MA Tidak Akan Naik Selepas GST

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan harga rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak akan dinaikkan meskipun selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dilaksanakan mulai 1 April.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, diskaun sebanyak 20 peratus daripada harga pasaran itu akan terus dilaksanakan.

 

“Tiada sebab mengapa rumah PR1MA nak dinaikkan, lebih-lebih lagi bahan bahan, kos bina rumah itu tidak termasuk dalam senarai kenaikan harga dan sebagainya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) yang ingin tahu sama ada pelaksanaan CBP akan menyebabkan kenaikan harga rumah PR1MA dan seterusnya memberi kesan terhadap projek PR1MA pada masa depan.

 

Mengenai projek PR1MA yang sedang dan akan dibina Shahidan berkata sehingga kini PR1MA sudah meluluskan 119,933 unit rumah merangkumi 95 projek di seluruh negara.

 

“Jumlah unit pembangunan dan projek ini sentiasa berubah dan meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kekerapan mesyuarat anggota perbadanan PR1MA yang giat diadakan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.