Guan Eng ‘Bahlulkan’ Seluruh Anggota PAS – Syed Ali

Kuala Lumpur – Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Alli Alhabshee menasihatkan parti PAS agar tidak terus diperkuda dan ‘dibahlulkan’ oleh DAP setelah tindakan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

 

Menurut Syed Ali, tindakan Guan Eng itu telah memberi tamparan hebat dan cukup memalukan seluruh organisasi parti tersebut.

 

Tegasnya, semua pemimpin PAS seharusnya membuka mata dan tidak memekakkan telinga dengan penghinaan yang dilemparkan Guan Eng kepada tokoh politik itu.

 

“Perbuatan Lim Guan Eng ini bukan sahaja memalukan PAS malah turut ‘membahalulkan’ seluruh anggota PAS yang seolah-olah menjadi ‘Pak Turut’ kepada DAP.

 

“Walaupun DAP sudah menindik hidung PAS selama ini masih lagi mahu berbaik-baik dengan parti yang selama ini mengamalkan politik perkauman yang sempit.

 

“Malah, pemimpin PAS sanggup berbaik-baik dengan DAP yang jelas menolak ketuanan Melayu di negara ini dan bermusuh dengan UMNO yang sebangsa dan seagama,” kata Syed Ali dalam catatan terbaharu diblognya, umnobahagiancheras.blogspot.com, hari ini.

 

Semalam, Guan Eng menyatakan parti DAP sebulat suara mengumumkan memutuskan hubungan dan menghentikan kerjasama dengan Hadi Awang selepas hilang kepercayaan dan keyakinan kepadanya khususnya membabitkan isu pelaksanaan hukum hudud.

 

Menurut Guan Eng seperti dilapor beberapa portal berita, DAP kesal di atas tindakan tidak jujur dan tidak bermaruah Hadi Awang yang bekerjasama dengan UMNO untuk melanggari semangat konsensus serta Dasar Bersama Pakatan Rakyat (PR)

 

Mengulas mengenai perkara itu lagi, Syed Ali menyatakan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi Awang merupakan satu isyarat halus kepada parti tersebut supaya menilai kembali kedudukan parti tersebut dalam PR.

 

“Pada pandangan saya tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Hadi Awang kerana mahu memberitahu anggota PAS bahawa Presiden parti itu tidak lagi relevan mengetuai PAS dan wajar diganti pada muktamar Jun ini.

 

“Bila Hadi Awang diganti maka mudahlah DAP menjadi ‘abang long’ dalam Pakatan Rakyat. Apabila sudah menjadi ‘abang long’ maka mudahlah DAP membuat apa sahaja keputusan dalam Pakatan Rakyat,” ujarnya lagi dalam entri tersebut.

 

Syed Ali turut menyarankan agar PAS menimbang kembali hubungan mereka dengan DAP.

 

“Bukan sahaja hari ini malah selamanya DAP tidak akan bersetuju hudud PAS dan perkara-perkara yang melibatkan kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

 

“Sebelum PAS dianggap dayus oleh penyokong dan rakyat negara ini ada baiknya PAS mengambil keputusan memutuskan hubungan politik dengan DAP,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.