Gambar Bayi Duyung, Dipercayai Milik Wanita Myanmar

Johor Bahru – Penyebaran berita seorang bayi yang dilahirkan dengan memiliki kaki seperti seekor ikan duyung di Hospital Pontian, semalam disahkan sebagai tidak benar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, semakan kelahiran di Hospital Pontian mendapati tiada kelahiran dicatatkan pada hari kelmarin, seperti yang didakwa oleh berita palsu berkenaan.

 

“Saya boleh katakan bahawa gambar seorang bayi yang didakwa dilahirkan dengan kaki seperti seekor duyung di Hospital Pontian seperti tersebar dalam laman sosial hari ini (semalam) adalah palsu.

 

“Ini kerana setelah disemak dengan pihak Hospital Pontian, tiada sebarang kelahiran dicatat di hospital itu pada hari semalam (kelmarin), jadi sudah tentu berita ini adalah tidak benar,” katanya di sini semalam.

 

Ayub berkata, masyarakat secara umumnya dinasihati supaya memastikan kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu supaya ia tidak mencetuskan pelbagai masalah kepada individu lain dan pihak-pihak berkaitan.

 

“Saya memohon agar orang ramai lebih berhati-hati dalam memastikan kebenaran dan kesahihan sebarang berita atau gambar di dalam internet.

 

“Sebarang berita yang tiada kepastian dan kebenarannya perlu dirujuk dengan pihak berwajib terlebih dahulu sebelum disebarkan di dalam media sosial kerana ia boleh mengundang keresahan, keghairahan dan masalah kepada pihak terbabit, sekali gus memberi kesan kepada prestasi mereka,” katanya.

 

Gambar bayi yang dilahirkan cacat dengan kakinya melekat seperti kelihatan duyung itu mula menjadi viral dalam laman sosial semalam, kerana bayi malang itu didakwa dilahirkan di Hospital Pontian petang kelmarin.

 

Bagaimanapun setelah diselidiki menerusi beberapa carian dalam laman web mendapati gambar bayi berkenaan dipercayai telah muncul dalam satu akaun Facebook milik seorang wanita Myanmar pada 19 Mac lalu, dan turut ditayangkan dalam laman Facebook, Top Myanmar News. -Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.