DAP Hentikan Kerjasama Dengan Presiden PAS Bukan Pelik – PAS Selangor

SHAH ALAM – PAS Selangor menyifatkan tindakan DAP untuk menghentikan kerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang susulan isu hudud, bukan sesuatu yang pelik.

 

Setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman berkata ini kerana tindakan itu adalah daripada anggota DAP dan bukan PAS.

 

“(Tindakan) itu tidak pelik…yang pelik ialah kalau ada ahli PAS sendiri yang tidak taat pada Tuan Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), sedangkan presiden dipilih oleh ahli di dalam Muktamar Tahunan yang sah.

 

“Walaupun DAP menolak presiden kita, tetapi ahli-ahli kita di Selangor tetap bersama Presiden PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mencetuskan polemik hari ini apabila meminta Abdul Hadi keluar dari Pakatan Pembangkang jika mahu meneruskan hasratnya membentangkan rang undang-undang hudud di Dewan Rakyat.

 

Lim mendakwa Abdul Hadi mengkhianati Pakatan Pembangkang dengan mengemukakan notis usul kepada Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

 

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata PAS Selangor akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat selagi parti itu belum menerima sebarang arahan daripada kepimpinan tertinggi berhubung kerjasama dalam pakatan itu.

 

“PAS Selangor tidak menerima sebarang arahan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat dengan sebab itu kita kekal,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.