DAP Diingat Jangan Pecah-Belahkan PAS

SHAH ALAM – DAP diingatkan tidak memecah-belahkan kerukunan kepimpinan dan ahli Pas dengan membuat pendirian untuk memutuskan kerjasama politik dengan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tidak dengan parti itu.

 

Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan DAP tidak boleh memisahkan Abdul Hadi daripada Pas sedangkan Pas diketuai dan diterajui oleh presiden sebagai ketua parti.

 

“DAP jangan cuba menusukkan jarum beracun memecah-belah kesatuan Pas menerusi kaedah “pecah dan perintah” apabila membuat keputusan memutuskan hubungan dengan presiden tetapi tidak dengan Pas.

 

“Keputusan presiden adalah keputusan bersama parti termasuk dalam usaha melaksanakan undang-undang jenayah Islam menerusi Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 (Pindaan 2015),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam menggesa Abdul Hadi keluar daripada PR sekiranya ingin terus membentangkan rang Undang-Undang Persendirian (RUU) mengenai kuasa mahkamah syariah pada persidangan Dewan Rakyat.

 

Menurut Guan Eng, presiden Pas itu boleh meneruskan pembentangan tersebut dengan kapasiti sebagai Ahli Parlimen dan bukannya sebagai pemimpin tertinggi PR.

 

Mengulas lanjut, Mahfodz menegaskan DAP perlu menghormati pendirian Pas untuk memperjuangkan hukum hudud meskipun ia bukan dasar bersama dalam PR namun dalam soal ini Pas perlu bersendirian.

 

“Pimpinan DAP jangan bermimpi di siang hari bahawa ahli Pas akan menggugurkan  hasrat untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam kerana perjuangan untuk mendaulatkan Islam bukan sahaja perjuangan Presiden tetapi perjuangan yang didokong oleh semua pimpinan dan ahli Pas di semua peringkat,” ujarnya.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pimpinan tertinggi PR perlu meneruskan konsep “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam isu undang-undang jenayah Islam itu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.