Bentuk Kerajaan Campuran Hanya 
Gimik Politik Lim Kit Siang

KUCHING – Cadangan pembentukan kerajaan Persekutuan campuran untuk ‘Selamatkan Malaysia’ yang dicadangkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilihat hanya gimik politik semata-mata.

 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kenya­taan Kit Siang yang disiarkan dalam portal The Malaysian Insider kelmarin merupakan pandangan peribadi pemimpin pembangkang itu dan saling tidak ubah sebagai ‘cakap’ sahaja.

 

“Jangan hanya menyatakan ma­hu bersatu, sebaliknya di belakang tiada usaha bagi menyatukan rak­yat.

 

“Bagi kita kerajaan Barisan Nasional (BN), kekuatan kita adalah kesatuan dan kestabilan yang membolehkan pembangunan negara dilaksanakan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Pe­nyampaian Sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Sarawak 2015, di sini hari ini.

 

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengulas kenyataan Kit Siang yang disiarkan dalam portal propembangkang, The Malaysian Insider yang mahu membentuk kerajaan Persekutuan campuran untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

 

Menurut Kit Siang, beliau melihat keadaan politik negara di kedua-dua belah iaitu kerajaan dan pembangkang menghadapi masalah tersendiri.

 

Bagaimanapun, kata Kit Siang, cadangan tersebut dibuat sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan soko­ngan UMNO terhadap Enakmen Hudud Pas.

 

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, rakyat memerlukan kesa­tuan dan perpaduan bukan hanya dari segi pertuturan tetapi amalan (perbuatan) yang membangun dan memajukan negara. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.