SKMM Siasat Artikel Fitnah Malaysian Insider Kaitkan Majlis Raja-Raja

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat laporan sebuah portal berita yang cuba mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan isu hudud.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dakwaan itu tidak benar dan menggesa rakyat supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tersebar khususnya di media sosial.

 

“Perkara itu tidak benar…ada orang cuba palitkan Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.

 

“Setiap perkara yang tersebar mesti mendapat pengesahan. Jangan cepat percaya apa yang tersebar terutamanya dalam media sosial,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 kementerian itu di sini, Khamis.

 

Beliau diminta mengulas sama ada SKMM akan melakukan siasatan ke atas sebuah portal berita yang mengeluarkan satu laporan pada Rabu yang mengaitkan Majlis Raja-Raja dengan isu berkenaan.

 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini berkata laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jalan Travers pagi tadi bagi menafikan ia mengeluarkan kenyataan berkenaan.

 

“Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak membincangkan perkara yang dihebohkan itu dalam Mesyuaratnya yang tersebut.

 

“Pejabat ini tidak juga mengeluarkan siaran akhbar bertarikh 25 Mac 2015 yang menyentuh perkara (1) itu” ujar kenyataan tersebut.

 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azli Abdullah ketika dihubungi SuaraTV mengesahkan menerima laporan tersebut pada pukul 11.30 pagi tadi.

 

“Wakil Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja membuat laporan berhubung kenyataan Majlis Raja-Raja yang dikatakan menolak hukum hudud dan memdakwa apa yang disiarkan di dalam artikel tersebut adalah tidak benar kerana mesyuarat tersebut tidak pernah membincangkan mengenai isu tersebut.

 

“Ini adalah untuk menyatakan apa yang disiarkan di dalam artikil (Malaysian Insider) itu adalah tidak benar… apapun kita (PDRM) akan melihat kepada keperluan untuk menyiasat perkara ini” ujarnya kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Menurut Muhammad Azli berdasarkan laporan tersebut pihaknya tidak melihat sebarang kesalahan yang dilakukan dibawah mana-mana Akta yang ditetapkan.

 

“Laporan tersebut hanya untuk menafikan kebenaran artikel yang dikeluarkan itu dan terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil sebarang tindakan mahkamah mengenainya” ujarnya lagi.

 

Terdahulu portal pro pakatan rakyat itu mendakwa mesyuarat Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu yang diadakan pada 11 Mac lalu menolak cadangan pindaan Akta tersebut.

 

“Penolakan itu bermakna wakil kerajaan pusat tidak boleh lagi membawa usul meminda akta itu di Parlimen, sebagaimana rancangan asal Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) yang dibentuk antara Putrajaya dan kerajaan Kelantan.

 

“Tetapi tanpa lampu hijau Majlis Raja-raja, kerajaan persekutuan kini tidak boleh membentangkan rang undang-undang di Parlimen bagi meminda akta itu yang ketika ini mengehadkan hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah” ujar portal yang memetik kenyataan sumber.

 

Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dalam sidang DUN walaupun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.