KUALA LUMPUR – Lima ahli Parlimen Pejuang berpendapat Yang di- Pertuan Agong tidak perlu mendapat nasihat daripada Perdana Menteri untuk memanggil sidang Parlimen kerana kuasa itu terletak di tangan Seri Paduka Baginda semasa negara dalam tempoh darurat.
Kata Pejuang hal ini memandangkan keabsahan (legitimacy) Perdana Menteri dipertikaikan dan dengan itu beliau tidak lagi layak untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong.
“Ini telah kami timbulkan semasa Perdana Menteri menasihatkan Yang di- Pertuan Agong untuk menitahkan proklamasi darurat,” kata mereka dalam satu kenyataan media bersama, hari ini.
Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Negara Pejuang berkata mereka menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang telah menitahkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.
“Titah Baginda ini jelas meraikan demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.
“ Jadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada alasan lagi untuk tidak memastikan sidang Parlimen diadakan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Di samping itu, kami juga berharap persidangan Parlimen kali ini dapat dijalankan sepenuhnya dan bukannya persidangan sehari seperti yang dilakukan pada 18 Mei tahun lalu.
“Persidangan ini perlu mengikut takwim asal tanpa memendekkan sesi persidangan,” kata Pejuang lagi.
Hal ini amat penting memandangkan bukan sahaja keabsahan Perdana Menteri dipertikai,
malah masalah ekonomi, pandemik Covid-19 dan pentadbiran yang kucar-kacir telah mengakibatkan kesusahan dan keresahan di kalangan rakyat.
“Persidangan Parlimen amat diperlukan dalam keadaan sekarang bagi membahaskan isu Covid-19 dan vaksinasi, pendidikan anak-anak serta langkah untuk mengelakkan pilihan raya diadakan dalam tempoh pandemik ini.
“Semoga Allah SWT permudahkan urusan negara tercinta ini,”katanya.
Pejuang terdiri daripada Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Marzuki Yahya, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh. -SuaraTV