Saya Tak Perlu Sokongan PAS Untuk Kekal Jadi PM – Dr Mahathir

KLANG – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak memerlukan sokongan Pas untuk kekal sebagai perdana menteri.

Ini kerana, katanya, beliau mendapat sokongan daripada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang jumlahnya lebih ramai di Dewan Rakyat.

“Saya perlukan sokongan lebih 50 peratus wakil rakyat, saya tidak perlu sokongan daripada Pas kerana PH sendiri mempunyai lebih daripada separuh kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Sokongan itu sokongan daripada (parti) yang sudah pun menang bukan dari mereka yang nak kalah tetapi nak bagi menang.

“Tetapi kalau dia (PAS) nak sokong dia sokonglah, tak usahlah cakap pada saya dia sign surat konon nak sokong. Tidak sebut nak sokong PH cuma nak sokong saya sahaja, tetapi saya bukan kerajaan, kerajaan mestilah PH,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kilang Metrod Holdings Bhd di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya semalam bahawa beliau tidak faham dengan sikap Pas yang berpendirian tidak tetap dalam menyuarakan sokongan terhadapnya untuk kekal sebagai perdana menteri.

Baru-baru ini, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan menemui Dr Mahathir di Putrajaya bagi menyatakan sokongan kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.