Wanita Langgar Mati 8 Remaja Berbasikal Bukan Anak Kenamaan – Polis

JOHOR BAHRU – Polis menafikan pemandu wanita yang merempuh 8 remaja lelaki berbasikal sehingga maut dalam kejadian di sini Sabtu lepas, adalah anak orang kenamaan.

 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh, ketika mengesahkan perkara itu, berkata spekulasi yang mengaitkan pembebasan wanita berusia 22 tahun itu kerana status keluarganya daripada golongan kenamaan, adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.

 

“Beri masa kepada polis untuk lakukan siasatan, jangan terburu-buru membuat andaian,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

 

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dan gambar yang tular di media sosial yang mendakwa pembebasan wanita itu dengan jaminan polis kerana berkait dengan keluarganya yang merupakan golongan kenamaan, sehingga memaksa polis membebaskannya daripada tahanan.

 

Dalam kejadian awal pagi 18 Feb lepas, 8 remaja lelaki yang berbasikal maut selepas dirempuh pemandu wanita tersebut di Jalan Lingkaran Dalam, dekat sini.

 

Kejadian itu turut mengakibatkan 4 lagi remaja lelaki patah kaki, 2 tidak stabil berikutan pendarahan di dalam otak, seorang luka di kepala dan seorang lagi cedera di pinggul.

 

Wanita itu pula ditahan untuk membantu siasatan dan kemudianya dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan harinya (19 Feb) selepas selesai keterangannya direkod. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.